Angkara rokok elektronik, pelajar sekolah teknik ‘jadi lauk’ dibuli senior

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

AYER KEROH 24 Jan – Seorang pelajar sekolah teknik di negeri ini mendakwa menjadi mangsa buli pelajar senior dalam kejadian Sabtu lalu.

Pelajar berusia 17 tahun itu mendakwa ditumbuk di perut dan dipukul secara beramai-ramai oleh lebih 10 pelajar senior selepas disoal mengenai rokok elektronik.

Abang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Shuk, 27, berkata, kejadian itu terbongkar selepas adik bongsunya memaklumkan kejadian itu kepada isteri dengan menghantar foto kecederaan melalui aplikasi Whatsapp.

Sebaik menerima foto tersebut, dia bergegas ke asrama mangsa dan kemudian membawa adiknya itu ke Hospital Melaka untuk membuat pemeriksaan.

Dia berkata, satu laporan polis turut dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

“Saya kecewa kerana adik saya terpaksa menahan kesakitan dan tiada seorang rakan yang berani memaklumkan kejadian itu kepada pihak atasan.

“Jika benar adik saya bersalah sekalipun, itu bukan cara untuk mengajar sehinggakan dia (adik) mengalami trauma lebih-lebih lagi sebelum ini pernah mengalami tekanan perasaan selepas pemergian ibu dua tahun lalu.

“Saya juga terkilan pihak sekolah tiada inisiatif membawa adik membuat pemeriksaan kesihatan selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu,” katanya kepada pemberita.

Dia turut berharap kesemua pelaku dikenakan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada orang ramai khususnya pelajar lain agar tidak mempraktikkan budaya buli di sekolah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit mengesahkan pihaknya telah menerima laporan polis yang dibuat mangsa.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2171
Kongsi :
Previous post BAM nafi laporan dakwa kontrak tiga jurulatih tidak diperbaharui
Next post Dos penggalak: Ambil demi kesihatan, tanggungjawab
Ubah saiz-+=