Sorting by

×

PERAHU NAGA SHUANG RAO BUKA TIRAI FESTIVAL SUNGAI MELAKA 2026

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

BANDARAYA MELAKA 14 Jun – Persembahan Perahu Naga Shuang Rao dipilih sebagai acara pembukaan rasmi Festival Sungai Melaka 2026 yang akan berlangsung selama empat bulan bermula Jun hingga September depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pemilihan persembahan itu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkasakan Sungai Melaka sebagai ikon pelancongan, kebudayaan dan warisan bertaraf antarabangsa.

Katanya, festival anjuran Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) itu menjadi platform penting dalam mempromosikan keunikan Sungai Melaka, sekali gus menyokong aspirasi Tahun Melawat Melaka 2.0.

“Festival Sungai Melaka merupakan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam mempromosikan Sungai Melaka sebagai ikon pelancongan, kebudayaan dan warisan bertaraf antarabangsa.

“Saya yakin acara seperti ini mampu membuka dimensi baharu dalam landskap pelancongan negeri khususnya dalam sektor pelancongan sukan air,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Perahu Naga Shuang Rao atau Perahu Persahabatan di Jeti Quayside, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin; Timbalan Speaker Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerk Chee Yee; Penasihat Khas Pelaburan dan Hal Ehwal Negara China Kepada Ketua Menteri Datuk Wira Lim Ban Hong.

Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) Shaharul Azuar Idris serta lebih 50 delegasi dari Wilayah Hunan, China yang turut memeriahkan majlis tersebut.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, sukan perahu naga mempunyai sejarah panjang di Melaka apabila Persatuan Perahu Naga Negeri Melaka telah lebih 40 tahun menggerakkan aktiviti kesukanan dan kebudayaan itu sejak ditubuhkan pada tahun 1983.

Katanya, kemuncak acara itu diteruskan menerusi Pertandingan Perahu Naga Kali Ke-41 yang dijadual berlangsung pada 27 dan 28 Jun ini.

“Pertandingan ini akan melibatkan penyertaan sebanyak 115 pasukan termasuk dari Australia, Filipina, Singapura dan Brunei.

“Penyertaan antarabangsa ini membuktikan sukan perahu naga mempunyai daya tarikan tersendiri dan berpotensi besar sebagai produk pelancongan sukan negeri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

745
Kongsi :
Previous post PENGKALAN BATU DUN MESRA KELUARGA, ANAK MUDA
Next post SUNGAI MELAKA LOKASI PERTAMA LUAR CHINA PERKENAL BUDAYA PERAHU NAGA SHUANG RAO