
PENGKALAN BATU DUN MESRA KELUARGA, ANAK MUDA
PENGKALAN BATU 14 Jun – Penganjuran Karnival Perpaduan dan Pembangunan Wanita Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu berjaya menjadi platform yang mendekatkan komuniti dan pemimpin setempat menerusi pelbagai aktiviti yang bersifat santai, interaktif serta mesra keluarga.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin berkata, program yang dianjurkan dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan dan swasta itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Menurut beliau, pelbagai aktiviti yang dianjurkan juga menjadi platform untuk mendekati golongan muda dalam suasana yang lebih santai dan terbuka.
“Kita mahu golongan belia melihat program komuniti sebagai ruang untuk mereka berinteraksi, berkongsi pandangan dan bersama-sama menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
“Justeru, pelbagai aktiviti yang dekat dengan minat mereka disusun sepanjang karnival ini bagi memastikan penyertaan lebih menyeluruh,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Karnival Perpaduan dan Pembangunan Wanita DUN Pengkalan Batu mewakili Ketua Menteri Melaka di Kompleks Japerun Pengkalan Batu, di sini, semalam.
Kalsom berkata, karnival berkenaan dimulakan dengan program Gegar Subuh di Masjid Pengkalan Batu yang berjaya menghimpunkan ramai belia, wanita dan penduduk setempat dalam suasana penuh harmoni.
Selain itu, ujar beliau, pelbagai aktiviti turut diadakan termasuk pertandingan mewarna dan melukis kanak-kanak, sesi analisis warna dan keterampilan wanita, pameran agensi, pemeriksaan kesihatan serta Jualan Rahmah yang memberi manfaat kepada penduduk.
Menurut beliau, penglibatan pelbagai agensi kerajaan dan swasta menerusi pembukaan reruai turut membolehkan masyarakat mendapatkan maklumat serta perkhidmatan secara terus tanpa perlu berurusan di pejabat masing-masing.
“Kita bukan sahaja mahu mendekati belia, malah mahu memastikan seluruh keluarga mendapat manfaat daripada program yang dianjurkan.
“Apabila ibu bapa, anak-anak dan golongan muda hadir bersama, secara tidak langsung hubungan komuniti dapat diperkukuhkan dan semangat perpaduan dapat dipupuk,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


