Sorting by

×

MPHTJ NAIK TARAF TIGA RUMAH PANGSA DI KESIDANG

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

KESIDANG 14 Jun – Penduduk di tiga rumah pangsa dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang bakal menikmati kemudahan yang lebih selesa apabila Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) melaksanakan projek naik taraf bernilai lebih RM826,000 menerusi peruntukan Jabatan Perumahan Negara di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Sapiah Haron berkata, projek berkenaan melibatkan Rumah Pangsa Taman Merdeka, Rumah Pangsa Pegaga serta Pangsapuri Lot 6449 Taman Malim Jaya yang dikenal pasti memerlukan penambahbaikan kemudahan asas demi kesejahteraan penduduk.

Menurut beliau, bagi Rumah Pangsa Taman Merdeka, dua projek utama akan dilaksanakan membabitkan kerja menaik taraf satu unit tangki air dan sistem retikulasi di Blok J selain kerja mengecat bangunan serta kerja-kerja berkaitan di Blok O.

“Keseluruhan projek di Rumah Pangsa Taman Merdeka melibatkan kos RM209,292 dan semua kerja naik taraf telah bermula pada 4 Jun lalu serta dijangka siap sepenuhnya pada September depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sempena sesi walkabout Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Kesidang di Rumah Pangsa Taman Merdeka, di sini, semalam.

Turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Pengerusi Penyelaras WRUR Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang Allex Seah Shoo Chin; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Sapiah memaklumkan, Rumah Pangsa Pegaga menerima peruntukan terbesar iaitu RM427,500.10 bagi melaksanakan kerja-kerja menaik taraf bumbung di Blok M3 dan M4.

Sementara itu, Pangsapuri Lot 6449 Taman Malim Jaya menerima peruntukan RM190,050 bagi kerja menaik taraf tangki air dan sistem retikulasi yang dijangka dapat meningkatkan kecekapan bekalan air kepada penduduk.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

462
Kongsi :
Previous post KARNIVAL USAHAWAN PERKASA PMKS MELAKA, BUKA PELUANG TEROKA INDUSTRI HALAL
Next post PENGKALAN BATU DUN MESRA KELUARGA, ANAK MUDA