Sorting by

×

KARNIVAL USAHAWAN PERKASA PMKS MELAKA, BUKA PELUANG TEROKA INDUSTRI HALAL

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

KESIDANG 14 Jun – Daripada khidmat nasihat perniagaan hinggalah peluang meneroka pensijilan halal menjadi antara manfaat yang disediakan kepada orang ramai menerusi Karnival Usahawan Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin berkata, program selama dua hari itu merupakan antara inisiatif Kerajaan Negeri dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan dan membantu usahawan tempatan berkembang lebih jauh.

Menurutnya, Kerajaan Negeri sentiasa prihatin terhadap kelangsungan ekonomi para usahawan dengan menyediakan ruang niaga lebih teratur, bersih dan selesa, selain melaksanakan pelbagai program dan projek bagi memperkasa sektor keusahawanan.

Tambahnya, karnival berkenaan juga merupakan Inisiatif Pemerkasaan Usahawan di bawah peruntukan Kerajaan Negeri bagi tahun 2026 ke arah merangsang pertumbuhan ekonomi negeri serta membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan.

“Peruntukan disediakan ini dapat membantu merangsang pertumbuhan ekonomi Negeri Melaka serta menambah baik dasar Kerajaan Negeri dalam membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), bukan sahaja pada tahun semasa tetapi juga pada masa akan datang.

“Kerajaan Negeri akan terus memacu landskap keusahawanan Melaka sebagai platform dinamik bagi pertumbuhan perniagaan dan pemerkasaan usahawan tempatan menerusi pelbagai inisiatif strategik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Usahawan Sempena Program WRUR Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang dan Program Jelajah Halal Malaysia @ Melaka di Malim Food Town, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Interim Halal Development Corporation (HDC) Hanisofian Alias.

Mengulas lanjut, Allex berkata pelbagai pengisian disediakan sepanjang karnival itu termasuk kaunter khidmat nasihat serta institusi perbankan bagi membantu usahawan mendapatkan maklumat berkaitan bantuan dan kemudahan ditawarkan.

“Selain itu, karnival ini turut menampilkan Program Jelajah Halal Malaysia oleh Halal Development Corporation (HDC), Program Jualan Agro MADANI oleh FAMA serta Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Bagi memeriahkan program, pelbagai aktiviti diadakan termasuk persembahan robotik, tayangan perlawanan FIFA World Cup 2026, pertandingan mewarna, sukaneka, pertandingan masakan dan cabutan bertuah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

540
Kongsi :
Previous post AUNM 2026 PENTAS TERTINGGI IKTIRAF USAHAWAN MELAKA
Next post MPHTJ NAIK TARAF TIGA RUMAH PANGSA DI KESIDANG