
WRUR TELOK MAS: CABUTAN LEMBU, KAMBING MOTOSIKAL MENANTI PENGUNJUNG BERTUAH
TELOK MAS 14 Jun – Cabutan bertuah utama menawarkan lembu, kambing dan motosikal menanti pengunjung bertuah hadir memeriahkan majlis penutup Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas dan Telok Mas Heritage Fun Run pada 20 Jun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, cabutan bertuah melibatkan dua ekor lembu, lima ekor kambing dan empat buah motosikal.
Mengulas lanjut Abdul Razak berkata, selain itu pengunjung dan peserta larian juga berpeluang membawa pulang pelbagai jenis barangan elektrik yang secara keseluruhan berjumlah RM20,000.
“Hadiah untuk cabutan ini kita bahagikan kepada dua sesi iaitu sebuah motosikal, seekor kambing dan barangan elektrik berjumlah RM10,000 bagi penganjuran Telok Mas Heritage Fun Run yang berlangsung pada sebelah pagi.
“Sementara itu untuk acara kemuncak atau penutup WRUR DUN Telok Mas hadiah cabutan bertuah disediakan adalah tiga motosikal, dua ekor lembu, empat ekor kambing dan barangan elektrik keseluruhan bernilai RM10,000.
“Kita juga anjurkan juga kenduri rakyat pada hari berkenaan yang dimeriahkan dengan pelbagai persembahan termasuk daripada artis terkenal Datuk Amy Search. Lebih istimewa pada malam berkenaan kita akan agihkan 7,000 kampit beras percuma kepada mereka yang hadir, kepada orang DUN Telok Mas datang beramai-ramai bagi memeriahkan majlis itu nanti,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pembukaan Program Ajak Sekampung Festival 2026 sempena Pembukaan WRUR DUN Telok Mas di Padang Bola Taman Seri Telok Emas.
Hadir sama Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem merangkap Adun Duyong serta kenamaan lain.
Abdul Razak yang juga Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri berkata, majlis perasmian penutup WRUR DUN Telok Mas dijadualkan disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


