Sorting by

×

Dos penggalak: PPV ‘offsite’ Melaka lengang

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

PENGKALAN BATU 24 Jan – Suasana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ‘offsite’ di Pusat Beli Belah KIPMall, di sini, kurang menerima sambutan meskipun kerajaan telah membuka pemberian dos penggalak secara ‘walk in’, mulai hari ini.

Tinjauan Melaka Hari Ini setakat tengah hari tadi mendapati hanya sekitar 20 individu sahaja yang datang pada satu-satu sesi dan kebanyakannya ialah mereka yang telah menerima janji temu.

Pengurus PPV Offsite KIPMall, Dr Edwin Tan berkata, sambutan yang agak dingin itu dipercayai berikutan hari pertama kebenaran itu jatuh pada hari bekerja.

Menurutnya, sambutan dijangka lebih baik di sebelah petang atau malam dan pada setiap hujung minggu.

“Hari ini, Isnin jadi sambutan orang ramai di PPV mungkin agak berkurang sedikit, selalunya pada belah pagi di hari bekerja seperti hari isnin dan selasa suasananya agak lengang tapi pada belah petang dan malam ia akan meningkat.

“Pada penghujung minggu kita dapati sambutannya begitu ramai dan selalunya kita akan merekodkan lebih kurang 1,800 hingga 1,900 orang akan hadir dalam sehari,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

MELAKA 24 JANUARI 2022. Pengurus Pusat Pemberian Vaksin (PPV) KIPMall, Dr Edwin Tan. Foto Iqmal Haqim Rosman

Beliau berkata, PPV itu dibuka sejak 17 Dis lalu dan mampu memuatkan seramai 2,000 penerima dalam satu-satu masa.

Ujarnya, seramai kira-kira 30 sukarelawan turut terlibat melancarkan proses pemberian vaksin dos pertama dan kedua serta dos penggalak.

“PPV ini boleh dikatakan bertaraf mega kerana setakat ini lebih 40,000 individu telah disuntik sejak ia dibuka membabitkan pelbagai suntikan dari dos pertama, kedua dan penggalak,” katanya.

Hasil pemerhatian mendapati terdapat lima stesen disediakan di PPV yang terletak pada tingkat atas bangunan pusat beli belah itu.

Selain itu, terdapat lebih lima kaunter disediakan di setiap stesen, selain 10 bilik suntikan menjadikan pergerakan sepanjang proses suntikan di PPV dengan kerjasama ASP Medical Group itu berjalan lancar.

Dalam pada itu, Edwin menyeru mana-mana individu yang masih belum menerima janji temu menerusi MySejahtera untuk datang secara terus ke PPV itu bagi menerima suntikan dos penggalak.

“Kita mengalu-alukan orang ramai yang tidak mempunyai temu janji untuk datang terus menerima suntikan vaksin dan ia dibuka dari jam 2 petang hingga 8 malam.

“Kita membuka peluang ini kepada orang ramai kerana inilah satu-satunya PPV yang beroperasi sehingga malam,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2557
Kongsi :
Previous post Kerajaan pertimbang bantuan geran khusus bagi PMKS, peniaga informal yang terkesan akibat banjir – PM
Next post Rayuan kes saman Nasjib terhadap AMMB Holdings dan dua lagi diketahui Khamis ini
Ubah saiz-+=