Kerajaan pertimbang bantuan geran khusus bagi PMKS, peniaga informal yang terkesan akibat banjir – PM

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KUALA LUMPUR, 24 Jan – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) secara prinsipnya bersetuju untuk mempertimbangkan bantuan berbentuk geran khusus bagi meringankan beban ditanggung oleh usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dan peniaga informal yang terjejas akibat banjir selain bantuan kewangan yang disediakan oleh agensi kerajaan.

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Kewangan (MOF) akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), kementerian dan agensi berkaitan serta Dewan Perniagaan bagi memperhalusi cadangan yang telah dibentangkan untuk pertimbangan kerajaan.

“Lawatan susulan ke lokasi yang dikenal pasti akan diadakan bagi memastikan program bantuan banjir PMKS sampai ke kumpulan sasaran. Insya-Allah, saya akan mengumumkan inisiatif ini setelah diperhalusi dan dimuktamadkan.

“Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia kekal terjamin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Sabri yang mempengerusikan mesyuarat tersebut berkata cadangan itu dibuat susulan perbincangan terperinci mengenai impak banjir ke atas Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) termasuk peniaga informal.

Menurutnya, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM), Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Bersekutu Malaysia (MAICCI) serta MEDAC telah berkongsi maklumat impak akibat daripada banjir selain mencadangkan beberapa tindakan bagi membolehkan PMKS bangkit semula.

Beliau berkata, mesyuarat itu turut mendengar keluhan daripada dua orang usahawan PMKS dari Taman Sri Muda, Shah Alam dan Taman Sri Nanding, Hulu Langat yang terjejas teruk bagi mendapatkan gambaran sebenar kerugian, kesan dan masalah yang mereka hadapi.

Kerajaan sebelum ini telahpun memperkenalkan pakej Bantuan Banjir Keluarga Malaysia berjumlah RM1.4 bilion merangkumi bantuan tunai, pembaikan rumah dan fasiliti awam bagi meringankan beban rakyat yang terjejas akibat banjir- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

991
Kongsi :
Previous post SPR: Mesyuarat khas tentukan tarikh PRN Johor 9 Feb ini
Next post Dos penggalak: PPV ‘offsite’ Melaka lengang
Ubah saiz-+=