Dua beradik maut, motosikal terbabas
JASIN 30 Januari – Motosikal dinaiki dua beradik yang terbabit dalam kemalangan maut di Jalan Ayer Keroh-Gapam di sini, petang semalam dipercayai terbabas.
Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin Asisten Superintendan Mohd Fadzil Othman berkata, kemalangan kira-kira jam 4 petang semalam itu mengakibatkan dua beradik Nurul Faqihah Ramli, 21, dan adiknya yang juga penunggang motosikal Hijjaz Kasturi, 19, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
“Sebelum kejadian, motosikal Yamaha Y15 ditunggang Hijjaz dalam perjalanan dari arah Gapam menghala ke Ayer Keroh, bagaimanapun dipercayai hilang kawalan setibanya di lokasi.
“Susulan daripada itu, motosikal mangsa kemudian disyaki terbabas melanggar batang pokok sebelum penunggang tercampak ke dalam longkang manakala pembonceng di tengah jalan.
“Mangsa yang disahkan maut di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin bagi proses bedah siasat sebelum jenazah mereka dituntut ahli keluarga bagi urusan pengebumian,” katanya.
Menurutnya, siasatan berhubung kejadian dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 selain keterangan saksi kejadian juga sudah diambil.
“Motosikal terbabit akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.