Dua lelaki ditahan miliki rokok seludup bernilai lebih RM40,000

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

KUALA LUMPUR 31 Mei – Polis menahan dua lelaki kerana dipercayai memiliki 465 karton rokok seludup bernilai RM47,360.80 dalam operasi Operasi Kontraban di Batu Caves, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih Superintendan Rizal Mohamed berkata, suspek terdiri daripada seorang warga tempatan berusia 38 tahun dan seorang warga Bangladesh berusia 59 tahun ditahan dalam operasi berkenaan di Taman Industri Spring Crest, di sini, sekitar 1 tengah hari itu.

Beliau berkata hasil pemeriksaan anggota PGA ke atas dua kereta yang digunakan suspek menemukan rokok seludup pelbagai jenama dengan nilai cukai sebanyak RM67,887.40.

PEGAWAI Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih Superintendan Rizal Mohamed.

“Ekoran itu, polis merampas dua kereta, wang tunai RM17,950 dan beberapa telefon bimbit dengan rampasan keseluruhan bernilai RM155, 578.20,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rizal berkata pihaknya berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran rokok seludup sekitar Lembah Klang susulan penahanan itu.

“Kesemua tahanan dan rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul untuk tindakan lanjut manakala kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 kerana memiliki rokok seludup,” katanya.

Rizal menyeru masyarakat agar memberi kerjasama dan menyalurkan maklumat kepada polis berkaitan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang dan pada masa sama sentiasa mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian virus COVID 19.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

608
Kongsi :
Previous post 1,052,145 individu lengkap dos kedua vaksin setakat semalam- DR Adham
Next post Pas Melaka tubuh tabung bencana bantu rakyat terkesan ‘lockdown’
Ubah saiz-+=