Dua maut kereta rempuh lori

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

JASIN 12 Januari – Dua lelaki maut selepas kereta dinaiki merempuh sebuah lori tangki di persimpangan lampu isyarat Lebuh Alor Gajah – Melaka – Jasin (AMJ) berhampiran Serkam di sini awal pagi tadi.

Dalam kemalangan pada jam 5 pagi itu, pemandu kereta jenis Toyota Vios, Badrul Shyam Noor Ibrahim, 31 dan penumpangnya, Ezham Hazim Ahyat, 33 maut di lokasi kejadian manakala pemandu lori tangki berusia 44 tahun tidak cedera.

Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd Fadzli Othman berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari arah Melaka menghala ke Muar manakala lori tangki terbabit dalam perjalanan dari arah Serkam menghala Jasin.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian lampu isyarat menunjukkan berwarna hijau dan lori tangki berkenaan meneruskan perjalanan menghala ke Jasin.

“Semasa lori terbabit melepasi lampu isyarat tersebut, kereta dinaiki kedua-dua mangsa yang datang dari arah Melaka merempuh bahagian sisi kiri lori berkenaan sebelum terbalik di tengah jalan.

“Akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

“Pihak polis mengesan saksi bebas untuk membantu siasatan kes yang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2853
Kongsi :
Previous post Tiga terlibat kes khianat api, simbah cat ditahan di Kulai
Next post Menyamar buru pembuang sisa komersial haram
Ubah saiz-+=