
DUA SIRI ‘HEBAT’, 92.7 PERATUS ADUAN DISELESAIKAN
AYER KEROH 3 Februari – Sepanjang dua siri berlangsungnya Hari Majlis Mesyuarat Negeri (EXCO) Bersama Rakyat (HEBAT) pada Ogos dan November tahun lalu, sebanyak 621 aduan telah diterima Kerajaan Negeri.
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad berkata, daripada jumlah itu sebanyak 92.7 peratus aduan telah berjaya diselesaikan, manakala bakinya akan terus dipantau dan diselesaikan mengikut tempoh waktu ditetapkan.
Jelas beliau, sepanjang tempoh itu juga, ia berjaya menggamit lebih 700 pengunjung ke Kompleks Seri Negeri yang boleh memanfaatkan pelbagai perkhidmatan yang disediakan menerusi pameran dan kaunter bergerak.
“Walaupun baru sahaja diperkenalkan Ogos tahun lalu, namun sambutan yang kita terima amat hebat juga sama seperti namanya HEBAT.
“Jadi, untuk siri pertama tahun 2026 ini, kita akan terus lakukan yang terbaik menyantuni rakyat dalam suasana yang selesa dan mesra,” katanya ketika bersiaran secara langsung pada program Kokenut Shake Dulu Special bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka bagi mempromosikan HEBAT Siri 1/2026 di konti MelakaFM.
Mengulas lanjut, Azhar berkata, sepanjang dua siri HEBAT sebelum ini, antara aduan yang paling banyak diterima adalah berkaitan isu kemudahan awam seperti lampu jalan, perparitan dan pembersihan.
Selain itu, katanya, orang ramai juga turut mengambil peluang bertemu kepimpinan Kerajaan Negeri bagi pelbagai bentuk permohonan, khususnya berkait kebajikan dan infrastruktur di kawasan masing-masing.
“Bagaimanapun, perlu kita jelaskan bahawa aduan dan permohonan adalah dua perkara berbeza yang perlu difahami rakyat. Untuk masalah berkait aduan seperti contoh longkang tidak diselenggara, ia boleh diselesaikan dengan kadar segera.
“Namun, jika ia membabitkan permohonan seperti contoh kampung tertentu memerlukan jalan baharu atau keperluan membina balai raya di sesuatu komuniti, perkara itu akan mengambil masa,” jelasnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


