DUN Johor bubar?

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

JOHOR BAHRU 22 Jan – Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dijangka dibubarkan esok bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad akan menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene pada jam 5 petang bagi mendapatkan perkenan membubarkan DUN.

Pagi tadi, Hasni tiba di Bangunan UMNO bagi mempengerusikan mesyuarat khas bersama 26 Ketua Bahagian UMNO.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dan 26 Ketua UMNO Bahagian antaranya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Pasir Gudang); Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang); Datuk Samsolbari Jamali (Ayer Hitam); dan Datuk Seri Razali Ibrahim (Muar); selain veteran UMNO Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Selepas mesyuarat itu selesai, Hasni dijangka menghadap Sultan Johor, untuk mendapat perkenan sebelum mengadakan sidang media khas.

Media sebelum ini melaporkan mengenai kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas Datuk Osman Sapian bulan lepas menjadikan kerajaan pimpinan UMNO hanya memiliki majoriti satu kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Pada masa ini, kerajaan negeri diterajui Barisan Nasional dengan 28 kerusi merangkumi UMNO (14 kerusi); MIC (dua); Bersatu (11); dan PAS (satu); manakala Pakatan Harapan dengan 27 kerusi iaitu DAP (14); PKR (tujuh); dan Amanah (enam).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

849
Kongsi :
Previous post Banjir: Pahang tambah peruntukan RM19,000 untuk setiap pembinaan rumah baharu
Next post Tiada lagi kuota khas pengambilan pekerja asing – Hamzah
Ubah saiz-+=