Banjir: Pahang tambah peruntukan RM19,000 untuk setiap pembinaan rumah baharu

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

BENTONG, 22 Jan – Kerajaan Pahang memperuntukkan RM19,000 untuk setiap pembinaan rumah baharu mangsa banjir di negeri ini, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata ia merupakan tambahan kepada RM56,000 yang diperuntukkan kerajaan Persekutuan untuk pembinaan rumah baharu mangsa banjir selepas kediaman mereka musnah akibat bencana alam itu baru-baru ini.

“Semasa mesyuarat dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) baru-baru ini saya mohon izin kerajaan Persekutuan untuk kerajaan negeri tambah RM19,000 menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan untuk bina baharu rumah RM75,000 untuk penduduk Pahang.

“Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira harga barang yang kini naik, malah rumah yang akan dibina kelak akan berkonsepkan Rumah Rakyat Pahang,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan hak milik suratan kepada 389 peneroka Felda Kemasul di sini hari ini yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Terdahulu, Wan Rosdy dalam ucapannya berkata kerajaan negeri tidak mempunyai sebab untuk menutup punca kejadian banjir teruk di Pahang, sekiranya bencana itu disebabkan aktiviti pembalakan.

“Ia merupakan bencana alam luar jangkaan, tidak ada kena mengena dengan aktiviti lain seperti digembar-gemburkan pihak-pihak tertentu…ia telah disahkan Jabatan Perhutanan Negeri dan dalam masa yang sama pakar telah buat kajian dan kenyataan berhubung perkara ini,” katanya.

Beliau turut memaklumkan kerja-kerja pembersihan longgokan sisa kayu akibat banjir di kawasan Telemong, di sini bermula minggu ini dengan operasi diketuai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Mengulas mengenai program itu, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri bersetuju untuk mengecualikan denda lewat pembayaran cukai tanah peneroka berkenaan yang melibatkan kos hampir RM500,000.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan peneroka supaya tidak menjual tanah berkenaan kerana ia sesuatu yang sukar dimiliki.

Sementara itu, peneroka Hashim Mohamed Harun, 53, berkata setelah 28 tahun menanti akhirnya beliau mendapat sepenuhnya hak milik tanah yang diusahakannya selama ini.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri dan Felda yang membantu kami, saya hargai dan akan usaha sebaiknya tanah ini,” kata bapa kepada tiga anak itu.

Terletak di Mukim Pelangai di dalam daerah Bentong, kawasan Felda berkenaan mula dibangunkan pada tahun 1974 melibatkan keluasan tanaman keseluruhan 1,954.45 hektar, ditanam dengan tanaman kelapa sawit.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

432
Kongsi :
Previous post Tindakan pertikai pengajaran Pendidikan Islam lebih banyak hanya daripada segelintir individu
Next post DUN Johor bubar?
Ubah saiz-+=