Tindakan pertikai pengajaran Pendidikan Islam lebih banyak hanya daripada segelintir individu

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

SHAH ALAM, 22 Jan – Tindakan mempertikai waktu mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam lebih banyak berbanding subjek teras lain hanya ditimbulkan segelintir individu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad menyifatkan tindakan itu sebagai sesuatu yang pelik memandangkan rungutan sedemikian tidak pernah disuarakan oleh mana-mana pihak.

“Agak pelik kalau orang cuba merungut bab itu. Selama ini tidak ada pun kita dengar rungutan dalam bentuk macam itu. Jadi, apabila kita dengar ia agak sedih.

“Itu lumrah biasa dalam kalangan masyarakat. Ada dalam kalangan mereka mungkin dia (individu berkenaan) tidak faham atau sengaja buat tidak faham, terpulang pada dia,” katanya yang ditemui pemberita pada majlis pelancaran Madrasah Tahfiz Orang Kurang Upaya (OKU) Ata’ bin Abi Rabah (MATAAR) di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai satu ciapan yang tular di Twitter baru-baru ini berhubung tindakan seorang individu mempersoalkan masa bagi mata pelajaran Pendidikan Islam sama banyak diajar dengan Bahasa Inggeris dan lebih banyak daripada mata pelajaran Matematik dan Sains.

Mengenai MATAAR, Idris berkata ia terletak di kawasan seluas lebih satu hektar yang diwakaf kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) di Parit 3, Sungai Burong, Tanjong Karang dekat sini.

Beliau berkata madrasah itu akan diselia badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan OKU Berdaya Hulu Langat.

Sementara itu, Pengerusi MATAAR Dr Abdol Hamid Ishak berkata madrasah tersebut adalah bekas sebuah tapak maahad tahfiz yang perlu dibaik pulih dengan kos melebihi RM3 juta bagi keselesaan pelajar OKU.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

507
Kongsi :
Previous post Kerajaan pastikan pelaksanaan strategi dalam bajet 2022 teratur – PM
Next post Banjir: Pahang tambah peruntukan RM19,000 untuk setiap pembinaan rumah baharu
Ubah saiz-+=