Sorting by

×

ECO CRUISE SUNGAI LINGGI BAKAL BERI TEMPIAS KEPADA NELAYAN

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

SERI NEGERI 23 Julai – Kerajaan Negeri akan memastikan kebajikan serta kepentingan nelayan tradisional di kawasan Sungai Linggi tidak dipinggir dan turut menerima tempias hasil pembangunan produk pelancongan baharu Eco Cruise Sungai Linggi tidak lama lagi.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, berdasarkan rekod Jabatan Perikanan Negeri Melaka, bagi 2025 terdapat seramai 47 orang nelayan sungai berdaftar atau berlesen yang menangkap ikan di Sungai Linggi.

Katanya, pelan mitigasi yang bersesuaian juga sedang dirancang bagi menjaga kepentingan dan mengelakkan gangguan kepada aktiviti perikanan tradisional.

“Selain itu Kerajaan Negeri akan mewujudkan peluang pekerjaan dan melibatkan penyertaan nelayan dalam projek pelancongan tersebut seperti menjadi pengendali bot, pemandu pelancong sungai atau vendor makanan laut tempatan bagi yang berminat serta memenuhi syarat.

“Tawaran latihan kemahiran dan pengetahuan kepada komuniti setempat agar mereka dapat terlibat secara langsung dalam sektor pelancongan yang dicadangkan turut dirancang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Rosli Abdullah (BN-Kuala Linggi) pada Persidangan Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Kelima Belas di  Seri Negeri, hari ini.

Menurut Abdul Razak, selain usaha yang diambil di bawah portfolio Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya pelbagai usaha juga dilaksanakan menerusi portfolio Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan sebagai menjamin kebajikan komuniti nelayan.

“Benih udang galah hampir 1.5 juta ekor turut dilepaskan antara 2021 hingga 2025 bagi memastikan populasi spesis tersebut sentiasa mampan dalam membantu meningkatkan pendapatan nelayan sungai terlibat.

“Bantuan jaket keselamatan dan lampu suluh turut diberikan kepada nelayan. Jabatan Perikanan juga akan memperkasakan sektor akuakultur dan aktiviti hiliran perikanan bagi nelayan,” katanya.

Jelasnya, Kerajaan Negeri tidak akan sesekali mengabaikan komuniti setempat termasuk kebajikan nelayan kawasan tersebut yang telah lama mencari rezeki di Sungai Linggi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

415
Kongsi :
Previous post TEKUN LULUS PEMBIAYAAN KEPADA 502 USAHAWAN MELAKA 
Next post MELAKA TELITI CADANGAN LAKSANA CUKAI PROGRESIF TANAH TERBIAR