Paya Rumput: Ekonomi rakyat jadi fokus Rais Yasin

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

PAYA RUMPUT 12 Nov- Masalah ekonomi rakyat antara fokus utama yang akan diangkat sekiranya Barisan Nasional (BN) dipilih dan diberi tanggungjawab menerajui kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput.

Calonnya, Datuk Rais Yasin berkata, BN mempunyai perancangan ekonomi yang baik dan ia dapat membantu menaik taraf kehidupan masyarakat setempat, selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan buat anak muda.

Beliau berkata, selain itu masalah banjir kilat dan juga capaian internet juga diberi perhatian khusus kerana kedua-dua permasalahan ini memberi impak besar kepada penduduk setempat.

“Masalah utama di Paya Rumput ini selain banjir kita juga mempunyai masalah ekonomi rakyat. Seperti kita lihat demografi di sini adalah ‘semi urban’, banyak anak-anak muda yang sedang berniaga termasuk penjaja dan juga usahawan lain.

“Jadi saya rasa isu ini dan anak-anak muda kehilangan pekerjaan antara isu utama perlu diangkat, malah saya turut merancang (untuk) mewujudkan ‘uptown’ kerana ia akan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat jika dipilih kelak,” katanya.

Menurut Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tangga Batu itu, penyelarasan amat penting dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan rakyat kerana beberapa pihak perlu duduk bersama bagi mencari penyelesaian.

“Contohnya isu banjir, ia tidak mudah tetapi tidak juga susah kerana perlunya ada kerjasama di peringkat Japerun untuk memanggil semua agensi terbabit melihat apa punca yang berlaku.

“Bagaimana nak menyelesaikan nya, adalah dengan cara penyelarasan kerana situasi dan apa yang berlaku di setiap lokasi tidak sama. Jadi ia bukan hanya membabitkan pihak berkuatkuasa tempatan (PBT) tetapi perlunya pejabat wakil rakyat menyelaraskan bagaimana menyelesaikan sesuatu isu,” katanya.

Mengulas lanjut, Rais yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, pemilihan calon wakil rakyat dalam kalangan anak jati perlu diberi perhatian kerana calon ini lebih dekat dengan penduduk dan memahami apa sebenarnya yang berlaku.

“Saya tidak merendahkan calon-calon lain kerana kita ingin bertanding secara sihat. Kalau misal kata calon dari luar ini saya rasa mungkin kesukaran untuk mereka berkhidmat.

“Berbeza pula dengan saya, saya adalah anak tempatan dan tinggal di sini. Saya tidak sanggup melihat sahabat-sahabat dan penduduk di sini banjir. Dua jam hujan banjir,” katanya.

Ujar beliau, untuk memenangi hati rakyat persaingan secara sihat adalah perlu tanpa memburukkan calon yang lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

676
Kongsi :
Previous post Rim: Dira mahu sektor tani di Melaka dimajukan lagi
Next post Sg Udang: Cikgu Ali janji majukan perumahan anggota tentera
Ubah saiz-+=