[Eksklusif] Komuniti Jawa Melaka bakal lenyap?
AYER MOLEK 12 September – Sebut sahaja Melaka, ramai membayangkan mengenai destinasi pelancongan bersejarah tersohor yang menjadi pilihan pelawat domestik dan luar negara.
Pelancong berkunjung ke negeri ini juga dihidangkan dengan keunikan pelbagai budaya masyarakat pelbagai kaum dan etnik yang masih wujud hingga kini.
Antara kerap bermain dibibir pelancong adalah budaya masyarakat Melayu, Cina dan India selain keturunan Baba Nyonya, Serani serta Chitty.
Namun begitu, mungkin ramai yang tidak tahu kewujudan kelompok komuniti Jawa yang dikatakan sudah memasuki generasi ketujuh.
Dianggarkan lebih 13,000 komuniti Jawa bermastautin di Melaka dengan Kampung Paya Dalam dan Kampung Tambak Paya menjadi perkampungan utama.
IDENTITI KIAN HILANG
Faktor perkahwinan campur menyebabkan identiti komuniti Jawa semakin terhakis, akibat peredaran zaman budaya dan penutur bahasa ibunda masyarakat itu semakin kurang.
Hanya orang lama yang dilihat masih bersungguh-sungguh mempertahankan warisan nenek moyang mereka itu daripada hilang ditelan zaman.
Orang lama yang ditemui Siti Hawa Khatam, 64, berkata, aktiviti budaya masyarakat Jawa di negeri ini suatu ketika dahulu amat meriah meskipun sebahagian besar daripada mereka menyara hidup dengan menoreh getah dan melakukan kerja kampung.
Berkongsi kegusarannya Siti Hawa berkata, identiti dan semangat ‘Jawa’ itu semakin pudar khusus dalam kalangan generasi muda.
Warga emas itu berkata, apa yang merugikan adalah budaya menggambarkan orang Jawa kini tidak lagi diamalkan secara meluas.
“Sekarang hanya saya penutur bahasa Jawa, anak-anak tidak tahu menuturkannya, mereka hanya mendengar sahaja. Mungkin bahasa Jawa ini tidak lagi digunakan secara meluas seperti dahulu. Malah mereka di sekolah dan tempat kerja selesa menggunakan bahasa Melayu.
“Setiap bahasa ada keunikannya begitu juga bahasa Jawa ini. Tidak dinafikan masih ada orang muda boleh menuturkan bahasa Jawa tapi jumlahnya tidak ramai.
“Bagi meneruskan tradisi kesemua cucu saya minta mereka panggil saya ‘Makwek’, bukannya nenek,” katanya ketika ditemui di Kampung Tanjung Midah, di sini.
TRADISI SEMAKIN DILUPAKAN
Menurutnya, setiap kali kenduri perkahwinan keluarga pengantin akan mengadakan rewang selama tujuh hari sebelum tarikh majlis berlangsung.
Ketika itu katanya, kemeriahan majlis amat terasa berikutan jiran dan penduduk kampung yang datang akan membawa barangan seperti, beras, gula dan keperluan lain.
“Bila tetamu hendak pulang tuan rumah akan bagi ‘berkat’ iaitu lauk untuk dibawa balik. Kini kenduri hanya bagi duit sahaja malah ramai yang selesa gunakan khidmat katering.
“Selain itu tradisi melawat bayi baru lahir (jagong bayi) dan muyi juga tidak lagi diadakan. Dulu kita akan berkujung ke rumah ibu baru bersalin ini untuk bawa makanan sambil berselawat. Walaupun budaya menziarahi masih ada tetapi caranya lain,” katanya.
Ibu kepada lima anak itu berkata, makanan Jawa seperti nasi ambeng, nasi uduk, ungkep dan bubur abang ketika ini masih dikenali ramai dan mudah diperolehi.
Namun katanya, pasti ada yang menggaru kepala bila ditanya mengenai kerawon, tiwul dan punten yang dahulunya menjadi menu utama majlis keraian.
“Makanan tradisi masih dihidangkan sejak dari zaman nenek moyang hingga sekarang adalah ayam engkong. pada kebiasaan menu ini dihidangkan pada majlis doa selamat untuk cucu mahu bersunat, majlis nikah atau keluarga adakan majlis hari jadi,” katanya.
TIGA FALSAFAH JAWA
Siti Hawa berkata, bagi mengekalkan kesinambungan tradisi masyarakat Jawa beberapa pendekatan diambil menerusi penubuhan Pusat Komuniti Persatuan Warisan Anak Jawa (PERWAJA) kini giat menganjurkan pelbagai aktiviti termasuk mempopularkan semula persembahan Jidoran.
“Menerusi aktiviti diadakan ia secara tidak langsung akan membabitkan golongan muda dan belia. Jadi tradisi ini diharap dapat diwarisi untuk generasi akan datang.
“Menjadi Jawa saya amat berbangga malah mempunyai seorang pemimpin yang juga keturunan Jawa iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek Datuk Rahmad Mariman, seorang yang cukup berkaliber dan hebat, membuktikan anak Jawa tidak boleh dipandang rendah,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Azka Harun, 70, berkata, sebagai generasi seterusnya, golongan muda perlu memastikan identiti, warisan dan tradisi masyarakat Jawa tidak hilang.
“Contohnya, dalam sesuatu majlis cara hidangan nasi ambeng itu mempunyai tertib atau ada ‘totokromo’ yang perlu dituruti. Selain susunan, orang yang meletakkan hidangan itu kena berundur untuk beredar dan ini perlu diketahui.
“Masyarakat Jawa dulu amat berpegang kepada tiga falsafah hidup iaitu sandang (keperluan hidup), pangan (makan) dan papan (rumah kediaman) yang mana ketiga-tiga ini saling berkait untuk meneruskan kehidupan,” katanya yang juga generasi ke empat masyarakat Jawa.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.