[Eksklusif] Kompleks Warisan Jawa bakal jadi ikon baharu Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 22 Saat

AYER MOLEK 12 September – Bagi memastikan tradisi dan warisan masyarakat Jawa yang ada di Melaka tidak lenyap, beberapa inisiatif dirangka termasuklah hasrat membina sebuah Kompleks Warisan Jawa yang akan menjadi produk pelancongan baharu negeri Melaka apabila siap dibina kelak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman berkata, hasrat itu sudah lama dirancang dan juga turut mendapat persetujuan bekas Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Khalil Yaakob, suatu ketika dahulu.

Malah, beliau sendiri telah berkunjung ke Jogjakarta, Indonesia bagi memohon persetujuan pembinaan pelaksaan kompleks terbabit yang akan menempatkan ‘live museum’ dewan besar, restoran, rumah inap termasuklah pentas kebudayaan.

Meskipun begitu, menurutnya pembinaan kompleks yang dirancang akan didirikan di kawasan berdekatan Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) Paya Dalam, dengan keluasan kira-kira 27 ekar itu terpaksa ditangguhkan susulan kos yang dianggarkan menelan belanja kira-kira RM150 juta.

“Kita ada impian hendak buat Kompleks Warisan Jawa, malah saya sendiri sudah ke Jogjakarta untuk minta restu kerana tidak mahu dikatakan mencuri atau menciplak warisan budaya kerana reka bentuknya bercirikan negara itu walaupun tidak sama sepenuhnya.

“Tetapi disebabkan kekangan kos yang amat besar pembinaan itu terpaksa ditangguhkan namun usaha itu kita akan teruskan dan sekali gus menjadikan ia destinasi baharu pelancongan Melaka. Lokasinya juga strategik kerana di laluan utama bas pelancongan dari Singapura ke Johor,” katanya.

Beliau yang juga generasi ke lima masyarakat Jawa di Paya Dalam bagaimanapun berkata, demi kesinambungan warisan dan identiti, pihaknya akan meneruskan impian itu.

rahmad jawa 1
RAHMAD (kanan) memakai belangkon ketika menghadiri Karnival Warisan Anak Jawa Paya Dalam dua tahun lalu.

Walaupun cadangan baharu itu melibatkan skala peruntukan yang kecil, namun beliau percaya kompleks berkenaan bakal memberi banyak manfaat kepada negeri ini.

“Saya akan cuba untuk buat juga walaupun dalam bentuk skala kecil dan bermula secara berperingkat supaya ia tidak menelan bajet yang besar.

“Usaha ini adalah penting dan selain pelancong datang ke Melaka untuk melihat budaya dan warisan etnik seperti Baba Nyonya dan Portugis, mereka boleh ke sini yang turut mempunyai satu lagi komuniti iaitu Jawa di Melaka ini,” katanya.

Selain itu, Rahmad berkata, penubuhan dan pembinaan Kompleks Pusat Komuniti Persatuan Warisan Anak Jawa (PERWAJA) juga adalah usaha untuk terus memastikan kesinambungan warisan masyarakat Jawa.

Ujarnya, menerusi kompleks itu, pelbagai aktiviti bakal dianjurkan membabitkan pelbagai peringkat usia turut serta.

“Seperti Kompleks PERWAJA, kita wujudkan secara ‘tekyang’ (kumpul duit) dan akhirnya selepas beberapa tahun dapat disiapkan juga malah kini menjadi tempat pelaksanaan aktiviti penduduk setempat.

“Sebelum ini kita banyak adakan aktiviti tetapi secara kecil-kecilan tetapi pada Oktober ini satu mini karnival masyarakat Jawa akan diadakan iaitu dengan mengetengahkan makanan, budaya dan kesenian,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Penasihat PERWAJA berkata, selain Paya Dalam yang mempunyai komuniti terbesar kaum Jawa, Tambak Paya, Tehel dan Sungai Rambai juga terdapat masyarakat Jawa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2352
Kongsi :
Previous post [Eksklusif] Komuniti Jawa Melaka bakal lenyap?
Next post Cari pewaris Jidoran, kembalikan identiti Jawa Melaka
Ubah saiz-+=