Sorting by

×

Elak kemalangan, cadang bina tapak parkir baharu – MPHTJ

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 9 Jun – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) mencadangkan kawasan Inkubator K-Ekonomi dijadikan sebagai tapak parkir bagi pengguna yang meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan persimpangan berhampiran Wisma Persekutuan.

Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Shadan Othman berkata cadangan itu akan diusulkan kepada pihak Perbadanan Ketua Menteri (CMI) memandangkan mereka adalah pemilik bangunan inkubator berkenaan.

“Parkir tepi jalan itu memang kita tak benarkan sebab ia akan menganggu lalu lintas, kita memang dah letak papan tanda larangan tapi mereka terpaksa kerana tapak parkir tidak cukup.

“Adapun tanah lapang di hadapan Wisma Persekutuan itu adalah hak milik persendirian, mungkin tuan tanah tidak benarkan untuk letak kenderaan di situ.

“Bagaimanapun kita akan cuba berhubung atau berbincang dengan pihak CMI jika boleh buka laluan untuk tapak parkir di bangunan Inkubator tersebut,” katanya ketika dihubungi MHI.

MPHTJ cadang Inkubator K-Ekonomi dijadikan tapak parkir kenderaan.

Shadan berkata perkara tersebut juga akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa lalu lintas pada minggu hadapan.

“Pihak MPHTJ akan berbincang dengan CMI jika dibenarkan parking (parkir) di dalam kawasan Inkubator tersebut.

“Kita akan bincangkan dalam jawatankuasa lalu lintas minggu depan untuk mendapatkan kata sepakat selain mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku di kawasan itu,” katanya.

Terdahulu MHI melaporkan kawasan simpang tiga di Wisma Persekutuan didapati merbahaya apabila dipenuhi kenderaan yang keluar masuk pada waktu puncak.

Ia berikutan terdapat dereten kenderaan yang parkir di bahu jalan sehingga menyebabkan pengguna jalan teragak-agak untuk membelok ke kanan menuju ke jalan Rumah Media Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1442
Kongsi :
Previous post Batik Air diminta selesai isu dalaman segera – EXCO
Next post Indonesia harap RORO Dumai-Melaka dipercepatkan
Ubah saiz-+=