Indonesia harap RORO Dumai-Melaka dipercepatkan

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

PEKANBARU 9 Jun – Perkhidmatan feri pengangkut ‘Roll On Roll Off’ (RORO) Dumai-Melaka diharap akan dipercepatkan bagi merancakkan ekonomi di antara kedua-dua negara.

Gubernur Provinsi Riau Dr H Syamsuar berkata, mengikut perancangan, perkhidmatan feri itu akan bermula pada 2026, namun pihaknya berharap ia dapat diawalkan kepada tahun 2024.

Jelasnya, perkhidmatan itu sangat penting bukan sahaja sebagai antara alternatif jalan perhubungan laut, bahkan mampu merancakkan pembangunan dan sektor pelancongan di antara Melaka dan Indonesia.

“Kita sasar 2024, perkhidmatan ini sudah boleh dimulakan yang mana ia boleh menghubungkan jalan laut ke Melaka dan mempercepatkan pembangunan.

“Dengan adanya RORO ini juga, kita harap lebih ramai pelancong dapat ke sini (Indonesia) dan kita berharap kerjasama erat ini akan terus diperkukuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Festival Semarak Pelancongan Negeri Melaka di Atrium Kampar, SKA Mall, Pekanbaru, hari ini.

Festival itu telah dirasmikan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Dalam pada itu, H Syamsuar turut cakna dengan masalah yang berlaku negara serantau seperti krisis kekurangan ayam dan sayur yang dilaporkan di Malaysia dan Singapura.

Beliau berkata, Riau sedia menghulur bantuan membantu membekalkan ayam dan sayur-sayuran daripada negara Republik itu demi membantu isu yang berlaku kepada negara jiran.

“Kami di Indonesia sedia mengirim sayuran dan ayam dari Riau dalam memastikan krisis bekalan makanan yang berlaku di negara-negara terjejas dapat diatasi,” katanya lagi.

H Syamsuar ketika menerima kunjung hormat daripada Sulaiman dan delegasi Melaka di kediaman rasminya, pagi tadi. Foto: Hasbullah Azhar

Terdahulu, pada sebelah pagi, H Syamsuar telah menerima kunjung hormat Sulaiman dan delegasi Melaka di kediaman rasminya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2013
Kongsi :
Previous post Elak kemalangan, cadang bina tapak parkir baharu – MPHTJ
Next post Hubungan dua hala, pelancongan, keselamatan tiga fokus utama di Riau – EXCO
Ubah saiz-+=