Hubungan dua hala, pelancongan, keselamatan tiga fokus utama di Riau – EXCO
PEKANBARU 9 Jun – Tiga intipati pelancongan dua hala antara Kerajaan Negeri Melaka-Riau akan dibincangkan bersama Gubernur Provinsi Riau Dr. H Syamsuar dalam Misi Galakan Pelancongan Negeri Melaka ke Dumai dan Pekanbaru.
EXCO Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, tiga intipati tersebut adalah mengenai hubungan pelancongan, isu keselamatan dan pembanterasan aktiviti dadah berleluasa akibat COVID-19 serta hubungan dua hala menerusi Kapal RORO (Roll On/Roll Off) Dumai-Melaka.
Katanya, perbincangan tersebut akan disaksikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Dr R. Santhara Kumar.
“Hubungan dua hala (Melaka-Riau) akan merancakkan lagi sektor pelancongan negeri Melaka.
“Tiga intipati itu adalah yang pertama hubungan pelancongan antara dua negara, kedua ialah soal keselamatan di Selat Melaka.
“Manakala ketiga adalah kapal RORO iaitu pengangkutan laut untuk memastikan adanya perhubungan untuk membawa kenderaan dari Indonesia ke Malaysia amnya di Melaka dan sebaliknya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui pada Misi Galakan Pelancongan Negeri Melaka ke Dumai dan Pekanbaru, hari ini.
Muhammad Jailani berkata misi turut disertai pemain industri pelancongan kesihatan dalam usaha menarik lebih ramai penduduk dari Wilayah Riau mendapatkan perkhidmatan kesihatan sambil melancong di Melaka.
“Hampir 80 peratus pelancong dari Riau mendapatkan perkhidmatan pelancongan kesihatan di Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.