Sorting by

×

Ibu tunggal, anak tidur dalam kereta diselamatkan

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

PAYA RUMPUT 9 Jun – Seorang ibu tunggal bersama anak perempuan yang didakwa berteduh di dalam kenderaan berdekatan Cheng di sini menarik nafas lega apabila diberikan rumah transit sementara sebagai tempat untuk berteduh.

Inisiatif itu dilakukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput Datuk Rais Yasin yang merasa terpanggil untuk membantu keluarga berkenaan yang tidak memiliki kediaman untuk berlindung.

“Saya telah mengarahkan pegawai Japerun untuk turun ke lapangan bagi memantau permasalahan dihadapi ibu tunggal berkenaan.

“Pihak Japerun Paya Rumput menerima aduan pagi semalam oleh penduduk setempat berkaitan satu keluarga yang tidur di dalam kereta berdekatan kawasan Cheng. Justeru, saya telah mengarahkan pegawai untuk turun ke lapangan.

“Berdasarkan laporan, keluarga ini terdiri daripada seorang ibu tunggal bersama seorang anak perempuan. Saya merasa amat hiba kerana dimaklumkan bahawa anak beliau tidak dapat bersekolah disebabkan masalah pendapatan dan kesusahan hidup.

“Saya arahkan pihak Japerun berbincang dengan Lembaga Perumahan Melaka (LPM) bagi memohon rumah transit di Pokok Mangga. Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga dihubungi bagi mendapatkan bentuk bantuan segera,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook rasminya, hari ini.

Katanya, buat masa ini pihaknya telah menempatkan ibu tunggal tersebut bersama anak perempuannya di rumah transit sebagai penempatan sementara mereka.

“Alhamdulilah permohonan pihak Japerun telah mendapat respon yang baik, buat masa ini saya bersama Setiuasaha Japerun serta pegawai LPM dan JKM menghantar keluarga ini ke rumah transit sebagai penempatan sementara mereka.

“Saya juga telah menyampaikan sumbangan kit makanan dan barangan keperluan untuk keluarga ini. Terima kasih saya ucapkan atas tindakan segera Japerun, LPM serta JKM dalam membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

775
Kongsi :
Previous post Hubungan dua hala, pelancongan, keselamatan tiga fokus utama di Riau – EXCO
Next post Kes HFMD dijangka turun dua hingga tiga minggu lagi – Khairy
Ubah saiz-+=