Empat anak Melaka galas cabaran di Olimpik Tokyo

Masa Membaca:2 Minit, 9 Saat

EMPAT anak Melaka akan menggalas cabaran di pentas Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang bakal membuka tirai kurang sebulan lagi.

Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka dalam satu kenyataan memaklumkan keempat-empat pemain itu ialah atlet badminton negara yang dijadual turun beraksi bermula 24 Julai ini.

Mereka yang tersenarai ialah atlet beregu lelaki Aaron Chia; beregu wanita Chow Mei Kuan dan Lee Meng Yean; serta seorang lagi beregu campuran iaitu Goh Liu Ying.

Aaron Chia yang berpasangan dengan Soh Wooi Yik layak ke Olimpik selepas berada di ranking ke-10 Race to Tokyo 2020 oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sementara, Mei Kuan dan Meng Yean, masing-masing berusia 26 dan 27 tahun pula berada di kedudukan ke-14 kelayakan Olimpik BWF untuk layak secara merit beraksi dalam temasya itu.

Tumpuan sudah pasti terarah kepada bekas pemenang pingat perak acara beregu campuran Olimpik Rio 2016 iaitu Liu Ying, 32 yang mengekalkan gandingannya bersama Chan Peng Soon.

Kedua-dua pemain veteran itu layak selepas berada di ranking ketujuh kelayakan Olimpik BWF sekali gus berpeluang menambah koleksi pingat temasya sukan terbesar dunia itu di bumi Tokyo.

Bagi Aaron, 24, walaupun bakal beraksi sebagai status pemain bukan pilihan, namun dia dan pasangan beregunya yakin kerja keras yang dilakukan selama ini akan membuahkan hasil, sekali gus mengharumkan nama negara di mata dunia.

“Persediaan kami berjalan lancar. Kami akan melakukan yang terbaik untuk mencapai sasaran peribadi kami di Tokyo.

“Saya rasa setiap pemain akan menghadapi kesukaran, namun tuah mungkin memihak kepada kami kerana akan ke sana sebagai ‘underdog’,” katanya.

Sukan Olimpik Tokyo akan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos, dan bagi acara badminton, ia akan dibuka tirai pada 24 Julai dan dijangka berakhir pada 2 Ogos depan.

Untuk rekod, pada Olimpik Rio 2016, skuad badminton negara menjadi sukan paling cemerlang apabila membawa pulang tiga pingat perak menerusi kejayaan bekas jaguh perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei selain beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan beregu campuran, Peng Soon-Liu Ying.

Pada temasya kali ini, kem badminton kekal menjadi skuad terbesar dalam kontinjen Malaysia untuk beraksi di pentas Olimpik.

Selain badminton, antara atlet yang sudah mengesahkan tempat di temasya Olimpik Tokyo ialah Khairul Anuar Mohamad (memanah), Mohd Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom (berbasikal trek) dan Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik artistik).

Selain itu, Malaysia akan turut mempertaruhkan lima atlet terjun iaitu Nur Dhabitah Sabri, Ng Yan Yee, Pandelela Rinong, Leong Mun Yee dan Cheong Jun Hoong; selain empat atlet pelayaran – Khairulnizam Mohd Afendy, Nur Shazrin Mohd Latif, Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2572
Kongsi :
Previous post Tiga hari terapung di laut, lima nelayan Indonesia diselamatkan TLDM
Next post Melaka catat dua kluster baharu, lima kematian semalam
Ubah saiz-+=