Melaka catat dua kluster baharu, lima kematian semalam

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

AYER KEROH 29 Jun – Melaka merekodkan pertambahan dua kluster baharu menjadikan jumlah keseluruhan kluster aktif sebanyak 39 setakat semalam.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan memaklumkan dua kluster baharu itu membabitkan penularan di tempat kerja di daerah Melaka Tengah.

Menurut kenyataan itu, Kluster Business City adalah kluster melibatkan kakitangan di sebuah institusi awam di Business City, Ayer Keroh.

“Kes indeks kluster itu adalah seorang wanita berusia 37 tahun yang dilaporkan positif pada 17 Jun hasil saringan kontak rapat dengan jumlah saringan sebanyak 57 orang, 36 kes aktif manakala 14 lagi kes baharu direkodkan semalam.

“Bagi Kluster Industri Teknologi Cheng 22, kluster itu dikenal pasti hasil saringan bersasar di sebuah kilang di Taman Teknologi Cheng, Kawasan Perindustrian Cheng.

“Setakat ini seramai 624 individu disaring dan 36 kes positif direkodkan dengan pertambahan 14 kes semalam,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, berdasarkan catatan di Facebook Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) menunjukkan, kes positif baharu semalam merekodkan penurunan kepada 183 kes berbanding 380 kelmarin.

“Berdasarkan pecahan kes mengikut daerah, 137 kes direkodkan di daerah Melaka Tengah manakala 34 lagi di daerah Jasin dan 12 kes di daerah Alor Gajah.

“Pertambahan kes itu turut membabitkan 72 kes baharu dalam Kluster Tembok Sungai Udang 2 dan 17 kes dalam Kluster Industri Teknologi Cheng 22 serta empat kes masing-masing dalam Kluster Industri Batu Berendam dan Kluster Industri Kelemak,” katanya.

Sementara itu JKN memaklumkan lima kematian di Melaka direkodkan semalam menjadikan jumlah kes kematian keseluruhannya dicatatkan setakat ini sebanyak 136 kes.

Menurut JKN, kes kematian pertama membabitkan wanita berusia 46 tahun di Bukit Katil, Melaka Tengah yang mempunyai sejarah perjalanan ke Kuala Lumpur dan dikesan positif hasil saringan bergejala.

Katanya, kematian kedua membabitkan lelaki warga emas berusia 69 tahun di Bandar Melaka yang dikesan positif hasil daripada kontak sosial penghuni sebuah pusat jagaan di daerah sama.

“Kematian ketiga membabitkan lelaki warga emas berusia 73 tahun di Bukit Katil yang dikesan positif hasil kontak keluarga dengan ahli keluarga iaitu anak.

“Bagi kes kematian seorang lagi lelaki warga emas berusia 75 tahun, pesakit dikesan positif hasil saringan menerusi kemasukan wad di Hospital Melaka.

“Kes kelima membabitkan kematian lelaki berusia 57 tahun di Serkam, Jasin yang dikesan positif menerusi hasil kontak rapat keluarga iaitu anak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

287
Kongsi :
Previous post Empat anak Melaka galas cabaran di Olimpik Tokyo
Next post 63 pengamal media Melaka terima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech
Ubah saiz-+=