Empat kes pokok tumbang di Melaka Tengah

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 22 Oktober – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka menerima empat panggilan kecemasan membabitkan pokok tumbang di daerah Melaka Tengah, susulan hujan lebat disertai angin kencang sejak lewat petang tadi.

Pegawai Zon I, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kes berkenaan sejak jam 6.35 petang tadi.

Katanya, kes pertama membabitkan sebuah kereta dinaiki tiga beranak selepas kenderaan itu dihempap pokok berhadapan sebuah pasar raya di Lebuh Ayer Keroh.

“Manakala panggilan kedua membabitkan pokok tumbang di jalan Bukit Katil menghala ke Tehel pada jam 6.43 petang.

“Setibanya lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh di lokasi kejadian mendapati sebuah kereta dihempap sebatang pokok namun tidak melibatkan mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, kes ketiga membabitkan kejadian pokok tumbang di Jalan Delima 2, Bukit Beruang dengan panggilan kecemasan diterima pada jam 8.29 malam.

“Setibanya anggota bomba di lokasi kejadian mendapati sebatang pokok tumbang dan menghempap sebuah gerai makanan dan sebuah kereta.

“Kes keempat membabitkan dua pokok tumbang di Taman Semabok Jaya,” katanya.

Beliau berkata, semua anggota yang digerakkan ke empat-empat lokasi menggunakan gergaji rantai untuk memotong batang pokok yang tumbang.

Katanya, pasukannya berdepan cabaran untuk melakukan kerja-kerja khidmat khas tersebut berikutan hujan lebat dan angin kuat.

“Semua kes berkenaan tamat operasi antara jam 9 hingga 10.30 malam,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

6189
Kongsi :
Previous post Tiga beranak terselamat pokok hempap kereta
Next post Karnival Deepavali Melaka meriah!
Ubah saiz-+=