Empat warga emas melecur rumah terbakar
BUKIT MERTAJAM, 28 Januari – Empat warga emas termasuk seorang wanita mengalami kecederaan melecur dan masalah kesihatan selepas rumah didiami mereka terbakar dalam kejadian di Kampung Alma Estate, Jalan Rozhan awal pagi ini.
Tiga daripada mangsa melecur di beberapa bahagian badan manakala seorang lagi mengalami masalah kesihatan, yang kesemuanya berusia lingkungan 70-an.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.39 pagi sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam terus ke lokasi.
“Sebaik pihak bomba tiba mendapati kebakaran itu melibatkan sebuah rumah dan api sedang marak dengan 80 peratus kediaman tersebut telah terbakar.
“Pihak bomba menjalankan kerja-kerja pemadaman dan kebakaran dapat dikawal pada 3.06 pagi dari merebak ke rumah berhampiran, api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira 10 minit kemudian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut jurucakap itu, wanita dan seorang lelaki yang cedera melecur dalam kebakaran berkenaan telah dihantar ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba manakala dua lagi menerima rawatan awal oleh pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di lokasi sebelum dihantar ke HBM.
Beliau berkata punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.