Enam cedera bas rempuh tiga kereta

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

AYER KEROH 23 Januari – Dua warga emas antara enam individu cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah bas dan tiga kereta di Jalan Tun Razak Lebuh Ayer Keroh, berhampiran persimpangan lampu isyarat sebuah kilang besi, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.08 petang itu, mereka yang cedera ialah dua penumpang bas persiaran, pemandu dan penumpang kereta Perodua Myvi, serta pemandu dan penumpang Nissan Almera.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 3.10 petang memaklumkan mengenai kemalangan tersebut.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika bas jenis Hino dipandu lelaki berusia 50 tahun sedang dalam perjalanan dari Pusat Bandar menghala ke Ayer Keroh.

“Siasatan lanjut mendapati kemalangan berlaku apabila bas yang melepasi persimpangan lampu isyarat kilang berkenaan telah melanggar belakang kereta Perodua Myvi yang berada di hadapan dan menyebabkan berlaku rempuhan dua lagi kereta di hadapan.

“Akibat daripada pelanggaran itu dua orang penumpang bas, pemandu dan penumpang Perodua Myvi, serta pemandu dan penumpang Nissan Almera telah cedera.

“Kesemua mereka dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan dan dua daripadanya ditempatkan di zon kuning,” katanya.

Beliau berkata, pemandu bas dan pemandu sebuah lagi kenderaan terlibat bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2389
Kongsi :
Previous post Lelaki dihanyutkan arus Sungai Tanum ditemukan lemas
Next post Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Melaka meriah!
Ubah saiz-+=