Enam tong ammonia bocor, treler terbabas

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

MASJID TANAH 10 November – Sebuah treler membawa 90 muatan tong ammonia terbabas di jalan utama Kampung Sungai Timun, Lubok China di sini pagi tadi mengakibatkan enam daripada mengalami kebocoran.

Pegawai Zon I, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Zulkhairani Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 9.47 pagi sebelum 17 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah dan BBP Masjid Tanah bergegas ke lokasi itu.

Katanya, sebaik tiba pihaknya mendapati enam tong daripada 90 tong berkenaan mengalami kebocoran dan menyebabkan pencemaran udara manakala pemandu treler terbabit tidak cedera.

“Berikutan itu, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) membuat pengurusan dan kawalan lokasi dengan menumbuhkan pos kawalan bomba dengan radius seluas 100 meter.

“Bacaan awal yang dikesan mendapati bahan tersebut adalah jenis Ammonia Anhydrous dengan bacaan melebihi 300 bahagian per juta (bpj),” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya bertindak melakukan penyerakan wap menggunakan kaedah ‘water fog’ kepada bahan berkenaan sebelum bacaan turun sehingga 10 bpj.

“Semua anggota Hazmat yang berada di dalam lokasi membuat nyah cemar dengan menggunakan satu aliran hose reel,” katanya.

Zulkhairani insiden itu dapat dikawal dalam tempoh kira-kira 32 minit sebelum operasi itu diserahkan kepada BBP Rembau dan pasukan Hazmat Negeri Sembilan untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, operasi itu tamat kira-kira jam 1.22 petang tadi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1904
Kongsi :
Previous post 10,000 pengunjung dijangka hadir ke Festival Keris Antarabangsa 2022
Next post Anggota ATM dilarang berpakaian seragam ketika sertai ceramah PRU – PTU
Ubah saiz-+=