Fahmi mula tugas secara rasmi sebagai Menteri Komunikasi Digital

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

PUTRAJAYA, 5 Dis – Menteri Komunikasi Digital Fahmi Fadzil memulakan tugas secara rasmi di Kementerian Komunikasi Digital di sini hari ini.

Beliau tiba di kementerian tersebut pada 12.15 tengah hari dan disambut Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Digital Datuk Seri Mohammad Mentek, selepas menghadiri mesyuarat khas Kabinet Kerajaan Perpaduan yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Fahmi, 41, melakukan imbasan di mesin kedatangan sebagai tanda memulakan tugas di kementerian itu secara rasmi dan kemudiannya menghadiri sesi penyerahan nota serah tugas daripada Mohammad.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi dan Ekonomi Digital) Ma. Sivanesan, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Roslan Ariffin, Ketua Pengarah Penerangan Datuk Mohd Sukari Ab Hamid dan Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Che Roslan Che Daud.

Fahmi juga menghadiri sesi taklimat mengenai Kementerian Komuniasi Digital yang dikendalikan oleh Mohammad dan dihadiri pihak pengurusan tertinggi kementerian serta ketua-ketua jabatan.

Fahmi sebelum ini dilaporkan akan memberi tumpuan utama kepada isu akses Internet termasuk roll-out 5G dan capaian di luar bandar serta keselamatan data peribadi bagi menangani penipuan dalam talian (scam).

Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai itu adalah antara 14 muka baharu dalam barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan

Sebelum berkecimpung dalam arena politik, lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dari Purdue University, Indiana, Amerika Syarikat itu bergiat aktif dalam seni kreatif dan persembahan sebagai penulis serta pelakon teater.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2130
Kongsi :
Previous post Perkasa perpaduan ummah, fokus utama Menteri Agama
Next post Nur Fadhilah Damia hanya ada satu buah pinggang
Ubah saiz-+=