Perkasa perpaduan ummah, fokus utama Menteri Agama

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

PUTRAJAYA, 5 Dis – Usaha memperkasakan perpaduan ummah akan menjadi fokus utama dalam bersama-sama ke arah pembangunan negara, kata Menteri Agama Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata ini berikutan situasi kini yang dilihat berlakunya perpecahan dalam kalangan masyarakat sekali gus menjadi antara isu besar yang wajar diberi tumpuan dan penyelesaian.

“Insya-Allah dengan berkat doa rakyat dan sokongan daripada semua agensi agama, kita akan pastikan supaya matlamat Islam itu dapat dimartabatkan di negara ini dan insya-Allah akan berjaya dalam usaha menyatukan kesemua ummah.

“Prinsip saya ialah ‘I seek to understand’. Hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan mesyuarat Kabinet yang pertama jadi saya akan lihat dahulu inti pati mesyuarat itu…apa yang ingin dibawa beliau (Anwar) supaya kita boleh menetapkan fokus untuk sama-sama bangunkan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengimbas kad perakam waktu di pejabatnya sebagai simbolik bermulanya tugas beliau secara rasmi selaku menteri bagi portfolio itu di Bangunan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata pertemuan bersama pihak berkepentingan seperti agensi-agensi kerajaan dan badan-badan berkaitan akan turut diadakan bagi memahami kehendak dan hasrat mereka ke arah memperkasakan ummah dan pembangunan negara.

Turut hadir pada sesi itu, Ketua Pengarah Jakim Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Terdahulu, Mohd Na’im tiba di Bangunan Jakim pada 8.31 pagi dan mengimbas kad perakam waktu di pejabatnya pada 8.33 pagi sebelum mengadakan sesi bacaan yasin dan doa selamat.

Pada Sabtu lepas, beliau mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Dewan Negara di Parlimen dan jawatan menteri di Istana Negara susulan pengumuman pembentukan Kabinet baharu oleh Perdana Menteri Jumaat lepas.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1627
Kongsi :
Previous post Fadillah mula tugas rasmi sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi
Next post Fahmi mula tugas secara rasmi sebagai Menteri Komunikasi Digital
Ubah saiz-+=