Fairul sedia hadapi Idris di Asahan

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

MELAKA 6 Nov – Calon muka baharu Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan, Fairul Nizam Roslan bersedia untuk menghadapi tentangan daripada Datuk Seri Utama Idris Harun yang bakal bertanding di kerusi sama atas tiket Pakatan Harapan (PH).

Katanya, walaupun terpaksa berdepan bekas Ketua Menteri itu, namun ia sama sekali tidak melemahkan semangatnya untuk memenangi kerusi tersebut demi maruah parti.

“Saya tiada masalah dengan beliau (Idris) dan sedia menghadapinya pada PRN.

“Apa yang penting sekarang ini saya bertanding demi maruah parti,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Fairul Nizam merupakan antara 24 calon muka baharu yang dicalonkan oleh BN untuk mewakili parti bertanding pada PRN ini.

Ketua Pemuda UMNO Melaka berusia 43 tahun itu berkelulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan Universiti Terbuka Malaysia dan bakal bertanding di tempat bekas penyandangnya Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan yang tidak lagi bertanding.

Dalam pada itu, anak kelahiran Alor Gajah itu berkata, fokus utamanya selepas dicalonkan ialah untuk mengamalkan politik berprinsip.

Jelas beliau, politik berprinsip yang dimaksudkan adalah tetap teguh dan setia berpegang kepada sesuatu daripada mula sampai bila-bila.

“Saya seorang yang berprinsip, lebih-lebih lagi dalam perjuangan dalam politik maka maksud dan matlamat saya jelas.

“Dalam keadaan rakyat sedang di himpit masalah ekonomi kita seharusnya mengutamakan perut rakyat bukan berebut kuasa politik,” katanya.

Beliau menambah, penting untuk setiap ahli politik mempunyai nilai prinsip yang baik serta jitu agar lebih dihormati oleh masyarakat termasuk pesaingnya dari parti lain.

Katanya lagi, sehebat mana pun mana-mana ahli politik itu, sekiranya prinsip diabaikan, mereka tidak seharusnya mendapat sokongan dan perlu ditolak oleh rakyat pada PRN nanti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1138
Kongsi :
Previous post PRN Melaka: PN ketengah 43 peratus calon 40 tahun ke bawah
Next post ‘Pemain ekonomi gelap’ berselindung di sebalik perniagaan ‘bersih’ edar dadah
Ubah saiz-+=