razarudin

‘Pemain ekonomi gelap’ berselindung di sebalik perniagaan ‘bersih’ edar dadah

KUALA LUMPUR 7 Nov – Sejumlah 221 sindiket dadah ditumpaskan di seluruh negara pada tahun ini yang ada antaranya diketuai golongan VIP bergelar ‘Datuk’.

Ada juga sindiket itu yang diketuai individu kaya bergelar jutawan dalam masa singkat selepas hanya dua tiga tahun menceburi bidang perniagaan.

Melihat situasi itu, timbul persoalan adakah suatu hari nanti negara bakal mempunyai ‘raja dadah’ seperti Pablo Escobar yang merupakan pengedar dadah Colombia terkaya dan memonopoli perdagangan kokain sehingga mempengaruhi agensi penguatkuasaan undang-undang.

Menyuarakan kebimbangan itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berkata pemain ekonomi gelap (black economy players) itu adalah ‘kingpin’ yang berselindung di sebalik perniagaan ‘bersih’ untuk mengedar dan menjual dadah.

“Pada tahun ini sahaja kami berjaya menumpaskan 221 sindiket dadah dan ada antaranya diketuai oleh golongan VIP berpangkat ‘Datuk’ serta individu yang baru sahaja memulakan perniagaan dalam tempoh dua atau tiga tahun tetapi sudah menjadi jutawan dalam masa singkat.

“Kerajaan menanggung kerugian ratusan juta setiap tahun berikutan sindiket ini tidak membayar cukai kerana mereka ini adalah black economy players yang berselindung dalam aktiviti sebenar perniagaan iaitu menjual dadah,” katanya dalam temu bual eksklusif Bernama di Bukit Aman baru-baru ini.

Razarudin berkata kewujudan pemain ekonomi gelap atau ‘kingpin’ ini dikhuatiri akan ‘meresapi’ ke peringkat PDRM atau ahli politik yang boleh memberi impak kepada negara.

Bagaimanapun, beliau yang menerajui JSJN Bukit Aman menegaskan akan sentiasa memastikan perkara itu tidak berlaku dan akan terus memperhebatkan risikan dan operasi dengan kerjasama agensi kerajaan yang lain.

“Setakat ini berdasarkan maklumat risikan dan pemantauan, sindiket dadah ini belum lagi mampu menanam pengaruh mereka pada institusi kerajaan dan ahli-ahli politik.

“Mungkin ada seorang atau dua pegawai PDRM yang terbabit dengan kingpin ini tetapi mereka telah diambil tindakan dan saya melihat pegawai dan anggota gigih bekerja serta berintegriti tinggi,” katanya.

Beliau turut memaklumkan jumlah penagih yang direkodkan Agensi Antidadah Kebangsaan pada tahun lepas adalah 130,000 orang dalam lingkungan umur 18 hingga 45 tahun dengan purata seorang penagih dalam lapan keluarga.

Menurutnya bagi memulihkan seorang penagih dadah, kerajaan perlu membelanjakan RM45 sehari dan ini menyebabkan kerugian kepada negara.

“Bayangkan jika tidak dibendung, dalam tempoh 10 tahun nanti jumlah penagih dadah boleh mencatat sehingga tiga juta,” katanya.

Razarudin berkata ancaman dadah kepada negara perlu diatasi dari awal supaya tidak wujud penambahan bilangan penagih dan raja dadah.

Dalam pada itu, beliau berharap rakyat peka dengan persekitaran mereka apabila melihat terdapat individu yang memiliki kekayaan ‘luar biasa’ dalam masa yang singkat dengan keadaan mencurigakan supaya menyalurkan maklumat bagi siasatan terperinci dapat dijalankan.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

26
fairul nizam Previous post Fairul sedia hadapi Idris di Asahan
BENDERA BN Next post PRN Melaka: Perang bendera masih dingin