
‘PETTING ZOO’ GAMATKAN SUASANA MENARA TAMING SARI
BANDA HILIR 3 Mei – Peluang bermanja dan bermain dengan dengan pelbagai jenis haiwan bukan sahaja menarik perhatian kanak-kanak malah golongan dewasa.
Itu suasana kemeriahan yang dapat dilihat di Menara Taming Sari apabila membawakan program istimewa iaitu Petting Zoo & Animal Show sempena hujung minggu dan Melaka Bila Larut Malam Edisi Mei 2026.
Tinjauan Melaka Hari Ini di perkarangan Menara Taming Sari mendapati suasana riuh dengan gelagat pengunjung yang teruja melihat kira-kira 30 jenis haiwan termasuk haiwan eksotik seperti ular sawa, iguana dan ‘African Bull Frog’.
Pengunjung, Ainul Anisah Hatamah, 31, berkata, pendekatan Menara Taming Sari membawakan sesi interaktif bersama haiwan dengan harga serendah RM5 merupakan inisiatif yang amat baik kerana mempelbagaikan lagi tarikan kepada pengunjung.
Ibu kepada tiga orang anak itu berkata, tawaran ke petting zoo dengan harga rendah seperti itu jarang ditemui, justeru ia wajar dimanfaatkan sepenuhnya oleh orang ramai.
“Anak-anak saya amat suka dengan haiwan, jadi saya ambil peluang untuk membawa mereka ke sini dan bagi saya dengan bayaran tiket RM5 setiap seorang, ia amat berpatutan.
“Pemilihan Menara Taming Sari membawa tarikan seperti ini adalah idea yang baik kerana secara tidak langsung membantu ibu bapa meluangkan lebih banyak masa dengan anak-anak dengan pelbagai aktiviti,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut seorang lagi pengunjung yang juga pelancong dari Johor Bahru K. Subaneswary, 28, berkata, tarikan petting zoo yang dibawa memberikan pengalaman luar biasa untuknya dan suami kerana selain dapat menyaksikan keindahan panorama Bandaraya Melaka, mereka berpeluang melihat haiwan dengan lebih dekat.
“Jika sebelum ini, kami datang hanya menaiki Menara Taming Sari tetapi kali ini terdapat aktiviti lain yang amat menyeronokkan apabila dapat melihat dan bermain dengan pelbagai haiwan termasuk ular sawa,” katanya.
Terdahulu, ‘Petting Zoo & Animal Show @Melaka Taming Sari’ adalah julung kali diadakan bersempena Melaka Bila Larut Malam Edisi Mei 2026 di mana ia diadakan bermula jam 6 petang hingga 10 malam.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


