Faktor kesihatan, kewangan, antara aduan tertinggi

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 5 Julai – Masalah kesihatan antara faktor utama orang ramai menghubungi pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Befrienders Malacca bagi meluah rasa dan mengurangkan tekanan emosi.

Pengerusinya, Yap Wei Ping berkata, dalam tempoh tiga hari sejak 1 Julai hingga semalam, pihaknya menerima 130 panggilan yang mengadu berdepan tekanan emosi.

Katanya, pihaknya setia mendengar luahan perasaan bagi setiap panggilan berkenaan dan ia berlarutan hingga lebih satu jam.

“Jadi, dalam sehari kita menerima lebih kurang 32 panggilan dan angka itu agak serius kerana mereka memerlukan sokongan dari segi mental dan fizikal.

“Pertubuhan ini bagaimanapun tidak boleh mendedahkan butiran lanjut mengenai maklumat pemanggil, namun permasalahan yang paling banyak dihadapi adalah disebabkan kesihatan diri mereka sendiri.

“Keduanya, masalah yang mengganggu emosi mereka adalah disebabkan kehilangan pekerjaan atau punca pendapatan kerana dalam tempoh enam bulan ini, masalah pengangguran meningkat kira-kira 40 hingga 50 peratus,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, permasalahan lain yang sering dikongsikan pemanggil adalah berkaitan masalah keluarga dan kewangan.

“Tanggungjawab kita adalah menjadi pendengar setia kepada setiap permasalahan yang diluahkan sebagai usaha untuk memberi sokongan kepada pemanggil dalam keadaan sukar ketika ini,” katanya lagi.

Befrienders Malacca mempunyai 25 sukarelawan berusia antara 20 hingga 60 tahun yang terlatih untuk mengawal emosi pengadu.

Orang ramai yang mempunyai masalah untuk dikongsikan boleh menghubungi NGO berkenaan di talian 06-2250791 yang beroperasi bermula 7 petang hingga 12 tengah malam atau melawat laman Facebook rasmi Befriender Malacca.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

871
Kongsi :
Previous post COVID-19: Melaka rekod kematian tertinggi hari ini dengan lapan kes
Next post Bendera putih: Menang atau kalah?
Ubah saiz-+=