Fi permit makanan ternakan ditangguhkan bermula hari ini

Masa Membaca:59 Saat

PUTRAJAYA, 21 Jun – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengumumkan penangguhan kutipan fi permit untuk empat komoditi makanan ternakan — jagung, soya, gandum dan makanan ternakan lain berasaskan haiwan dan tumbuhan — bermula hari ini bagi memudah cara pengimportan komoditi tersebut.

Kadar fi import yang dikenakan sebelum ini bagi jagung, gandum dan soya adalah RM15 bagi setiap permohonan permit manakala bagi permit makanan ternakan lain berasaskan haiwan dan tumbuhan adalah RM20 setiap permohonan.

MAFI dalam satu kenyataan hari ini berkata kos bahan mentah makanan ternakan yang tinggi dalam industri ternakan telah dikenal pasti sebagai antara faktor kenaikan harga bahan makanan seperti ayam bulat di pasaran tempatan.

“Sebahagian besar komoditi bahan mentah bagi tujuan makanan ternakan iaitu soya, gandum, jagung dan makanan ternakan berasaskan haiwan diimport dari luar negara.

“Penangguhan fi permit bagi pengimportan komoditi tersebut dapat membantu mengurangkan kos logistik dalam usaha menstabilkan harga makanan ternakan dalam negara,” kata MAFI.

MAFI berkata Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) juga akan melaksanakan proses kemasukan pantas di pintu-pintu masuk negara bagi komoditi tersebut dalam usaha melancarkan proses pengimportan dan sekali gus mengurangkan kos logistik yang terlibat dalam aktiviti pengimportan.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

622
Kongsi :
Previous post Pengecualian bayaran sewa kantin, premis di sekolah dilanjutkan hingga hujung tahun
Next post Empat remaja lari asrama ditemukan selamat
Ubah saiz-+=