Fokus lahirkan graduan kehendak industri – KM

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 21 Oktober – Melaka International College of Science and Technology (MiCoST) perlu fokus melahirkan graduan yang berupaya dipasarkan dalam bidang industri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia berikutan institusi pengajian tinggi (IPT) itu mempunyai kelebihan menawarkan pelbagai bidang selaras dengan kehendak industri pada hari ini.

“Saya minta supaya MiCoST lebih fokus dalam melahirkan graduan yang keupayaannya boleh dipasarkan dalam bidang industri.

“Ini kerana MiCoST adalah institusi pendidikan tinggi swasta yang menjadi pilihan atau landasan pelajar untuk menambah ilmu pengetahuan serta melanjutkan pengajian.

“Saya juga lihat pendidikan awal yang diterima para graduan diploma dan sijil kemahiran hari ini kebanyakkannya bersungguh memanfaatkan ilmu diperolehi mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Istiadat Konvokesyen MiCoST Kali Ke-9 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah; Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem; Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Siti Faizah Datuk Abd. Azis merangkap Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah MiCoST.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MiCoST, Datuk Azmi Sabtu; Pengurus Besar Yayasan Melaka, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali dan lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, pendidikan diberikan MiCoST adalah setaraf dengan institusi pengajian tinggi yang lain.

“Sudah tentu MiCoST dapat melangkah lebih jauh selepas ini, terima kasih juga kepada pihak pengurusan MiCoST kerana sentiasa berusaha melangkah ke hadapan,” katanya.

Terdahulu Ab Rauf menyampaikan pengiktirafan diploma dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) 282 graduanMiCoST.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

911
Kongsi :
Previous post Kitar semula dekati masyarakat
Next post IPT milik Kerajaan Negeri perlu lakukan anjakan paradigma
Ubah saiz-+=