Kitar semula dekati masyarakat

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

BANDA HILIR 21 Oktober – Kesedaran terhadap kitar semula di Negeri Melaka terus dipertingkat menerusi Hari Bersama Masyarakat SWM Environment Sdn Bhd (SWM Envieonment).

Terbaharu syarikat konsesi sisa pepejal dan pembersihan itu mendekati warga Banda Hilir bagi menyampaikan maklumat dan mendidik masyarakat tentang pentingnya amalan kitar semula.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, program itu merupakan antara inisiatif Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) pihaknya dalam mendekati komuniti.

Jelas beliau, program tersebut mendapat kerjasama Japerun Bandar Hilir, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

“Program ini adalah antara usaha SWM Environment mendekati masyarakat bukan sahaja bagi menyampaikan informasi berkaitan Kitar Semula tetapi juga untuk mempromosi Program Kitar Semula bermata ganjaran SWM Environment iaitu KITARecycle.

“Pada program ini masyarakat diberikan penerangan mengenai program KITARecycle bagi menggalakkan mereka menjalankan aktiviti Kitar Semula dalam kehidupan dan untuk menarik lebih ramai masyarakat menyertai program ini,” katanya.

Terdahulu, program yang berlangsung di Gelanggang Futsal Rumah Awam Bandar Hilir itu telah dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Banda Hilir merangkap Timbalan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Leng Chau Yen.

Pada program itu, SWM Environment turut membuka gerai pameran serta kaunter pendaftaran keahlian KITARecycle untuk pengunjung mendapatkan informasi serta mendaftarkan diri bagi menyertai program di samping Kaunter Pandu Lalu KITARecycle untuk orang ramai menghantar pelbagai barangan Kitar Semula termasuk plastik, kertas, aluminium, kaca, sisa elektronik di samping minyak masak terpakai serta fabrik terpakai.

Turut diadakan Pertandingan Kitar Semula Tertinggi membabitkan individu yang menghantar barangan Kitar Semula terbanyak, Jualan Rahmah oleh pihak FAMA dan juga Saringan Kesihatan.

Mohd Norlisam berkata, penganjuran program seumpamanya diharap dapat menyampaikan ilmu dan informasi kepada masyarakat berkaitan kepentingan mengamalkan Kitar Semula demi kelestarian alam sekitar di samping platform merapatkan hubungan SWM Environment dengan masyarakat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

920
Kongsi :
Previous post Bank sejarah Melaka
Next post Fokus lahirkan graduan kehendak industri – KM
Ubah saiz-+=