‘Formula’ Kerajaan Perpaduan Melaka bantu segerakan isu rakyat

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

BANDA HILIR 8 April – Pembentukan Kerajaan Perpaduan di Melaka menterjemahkan polisi pelaksanaan yang lebih berkesan buat rakyat di negeri ini.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi pelantikan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) daripada blok Pakatan Harapan (PH), baru-baru ini yang dilihat selari dengan Kerajaan Pusat.

Katanya, penubuhan Kerajaan Perpaduan ini seharusnya dapat menangani isu-isu rakyat dengan lebih pantas.

“Kita (PH) mengalu-alukan kerajaan perpaduan ini dibentuk di Melaka kerana formula ini sudah diguna pakai di peringkat Pusat di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Selepas ini yang lebih penting adalah kita mesti bergerak cepat memastikan pelaksanaan polisi tertumpu kepada masalah rakyat.

“Sudah pasti kita mahu kesepakatan ini membuatkan kita lebih bertenaga dan bergerak bersama dalam mendapatkan keyakinan rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan kepada 24 masjid Parlimen Kota Melaka di sebuah restoran di Pulau Melaka, semalam.

Mengulas mengenai perancangan pembangunan Kota Melaka, beliau kini menumpukan kepada aspek memantapkan sektor pelancongan sebagai persediaan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Kota Melaka kawasan tumpuan orang ramai kerana disinilah tempat warisan mempamerkan sejarah negeri ini. Jadi saya fikir keunikan-keunikan ini perlu diperkuat lagi untuk menarik orang ramai,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1436
Kongsi :
Previous post Ab Rauf mahu pulihkan bola sepak Melaka
Next post Beli baju raya untuk golongan memerlukan
Ubah saiz-+=