Gagal kejar cita-cita jadi doktor tak halang graduan mualaf cemerlang di politeknik

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

MERLIMAU 6 Feb – “Memang tidak jangka akan capai kejayaan ini kerana ia bukan pilihan dan minat saya.

“Tidak dinafikan pada awalnya memang susah untuk saya tetapi dengan bantuan pensyarah serta rakan-rakan setiap semester saya dapat anugerah,” kata penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum Ahmad Nur Fitri Bryan Abdullah.

Ahmad Nur Fitri, 23, menerima anugerah itu pada Istiadat Konvokesyen Politeknik Merlimau KE-19, hari ini, yang disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam.

Menurut anak kelahiran Kuala Lumpur itu, selepas tamat Tingkatan 5 dia berhasrat untuk menyambung pelajaran dalam bidang perubatan ataupun psikologi namun terpaksa melupakan hasrat itu kerana memikirkan kos pengajian yang tinggi.

“Disebabkan ketika itu tiada tawaran lain jadi saya mengambil keputusan untuk mengikuti juga Diploma Akauntasi walaupun agak merisaukan kerana tiada ilmu.

“Untuk capai apa yang ada hari ini bukan perkara mudah kerana perlu imbangkan akademik serta kokurikulum, kita kena ada usaha jangan cepat berputus asa,” kata Alumni dari Jabatan Perdagangan itu.

MERLIMAU 6 FEBRUARI 2022. Penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum, Ahmad Nur Fitri Bryan Abdullah sempena Istiadat Konvokesyen Politeknik Merlimau ke-19. Foto Iqmal Haqim Rosman

Dia yang juga saudara baharu selepas memeluk Islam ketika Tingkatan 4 berkata, walaupun terpaksa menunggu kira-kira dua tahun untuk istiadat konvokesyen, dia bersyukur apabila dapat menghadiri majlis itu secara bersemuka.

“Apa yang saya dapat hari ini juga atas doa emak dan keluarga yang tidak henti-henti mendoakan serta memberi sokongan walaupun saya sudah memeluk Islam,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penerima Anugerah Pelajar Cemerlang Politeknik , Anugerah Khas Siti Nur Ainaa Asmuni, 25, yang juga pelajar Diploma Seni Bina berkata, cabaran yang diberikan oleh kakaknya suatu ketika dulu menjadi pendorong untuknya belajar dan membuktikan kemampuan dirinya.

MERLIMAU 6 FEBRUARI 2022. Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam menyampaikan Anugerah Khas kepada penerima, Siti Nur Ainaa Asmuni sempena Istiadat Konvokesyen Politeknik Merlimau ke-19. Foto Iqmal Haqim Rosman

“Kakak yang cadang dan berikan cabaran dengan mengatakan tidak semua orang mampu untuk bawa bidang ini.

“Akhirnya hari ini saya dapat buktikan kepada semua, ibu terutamanya, yang saya betul-betul belajar dan ini juga hadiah buatnya kerana tidak henti doakan kejayaan saya ini,” katanya yang juga Alumni Jabatan Kejuruteraan Awam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

968
Kongsi :
Previous post Kerajaan bayar 50 hingga 60 peratus kerugian ditanggung jemaah umrah
Next post Aliran trafik lebuh raya utama bergerak perlahan petang ini
Ubah saiz-+=