Gangguan LRT: Wee tidak tolak kemungkinan sabotaj

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

PETALING JAYA, 11 Nov – Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong hari ini tidak menolak kemungkinan terdapat unsur sabotaj sehingga menyebabkan gangguan perkhidmatan transit aliran ringan (LRT).

Wee berkata beliau telah berbincang dengan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) pada Rabu lepas untuk melihat punca masalah itu secara menyeluruh dan bukan hanya terhad kepada aspek teknikal.

“Setakat ini, disebabkan masalah sistem dan signal. Bagaimanapun, kerajaan dan Prasarana telah ambil keputusan untuk melantik syarikat perunding bebas WSP yang disegani di peringkat antarabangsa untuk menjadi konsultan bagi melihat semua aspek termasuk apa yang dinyatakan (unsur sabotaj),” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal berita yang menyatakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Prasarana Datuk Ridza Abdoh Salleh mendakwa terdapat kemungkinan punca gangguan perkhidmatan bagi LRT laluan Kelana Jaya disebabkan unsur sabotaj.

Pada 8 Nov, Rapid Rail memaklumkan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya mengalami gangguan dan terpaksa dihentikan berpunca daripada sistem kawalan tren automatik (ATC) yang menyebabkan kehilangan signal antara pusat kawalan dengan tren.

Keesokannya, Prasarana mengumumkan sebahagian perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya digantung operasi selama tujuh hari hingga 15 Nov ini yang membabitkan 16 stesen dari stesen Kelana Jaya hingga Ampang Park.

Gangguan itu telah menjejaskan kira-kira 200,000 pengguna yang terpaksa beralih kepada kaedah pengangkutan lain bagi urusan harian serta menyaksikan trafik di ibu kota semakin sesak terutama pada waktu puncak.

Wee berkata punca yang dikenal pasti kepada gangguan ialah Vehicle Control Centre (VCC) dan Signalling Management Centre (SMC).

Beliau berkata modem dan peranti untuk bekalan elektrik telah ditukar malah penggunaan peralatan diagnostik pengilang asal (OEM) daripada Thales Group telah membuktikan sistem kembali stabil setakat ini.

Dalam pada itu, Wee berkata Lembaga Pengarah Prasarana telah meluluskan peruntukan RM150 juta untuk menggantikan sistem kawalan tren automatik selepas insiden pelanggaran LRT laluan Kelana Jaya pada 24 Mei.

Beliau berkata proses perolehan sedang berjalan dan memerlukan 30 bulan mengikut perancangan yang bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan serta menjamin keselamatan pengguna.

— BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1585
Kongsi :
Previous post Kursus kemahiran bakal diperluaskan di Masjid Tanah – Abdul Hakim
Next post Tuduhan terhadap tentera fitnah, Anwar perlu minta maaf – PM
Ubah saiz-+=