Tuduhan terhadap tentera fitnah, Anwar perlu minta maaf – PM

BERA, 11 Nov – Dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya anggota tentera di sini, mengundi awal hari ini dan dibayar adalah fitnah serta tuduhan jahat kepada pasukan keselamatan itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata dakwaan Anwar juga mencemarkan imej Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan menghina anggota tentera bukan hanya di Bera, malah di seluruh negara yang selama ini berkhidmat mempertahankan negara serta dihormati masyarakat.

“Tuduhan mengatakan tentera dibayar ini tuduhan jahat. Jangan hina anggota tentera. Saya minta Anwar tarik balik tuduhan tersebut dan minta maaf (tapi) bukan pada saya tetapi kepada anggota tentera kerana tuduh mereka terima wang dan sebagainya,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media di selepas menghadiri program Moh Ngeteh bersama komuniti Orang Asli di Kampung Bongkok di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Anwar yang disiarkan sebuah portal berita kononnya terdapat kem tentera terutamanya di Bera, yang melaksanakan undian awal hari ini, selain dikatakan dibayar RM300.

Selain itu, Ismail Sabri tidak menolak kemungkinan apa yang didakwa sebagai undi awal itu adalah undi pos kepada anggota pasukan keselamatan yang boleh memohon untuk mengundi secara pos, jika mereka tidak dapat hadir semasa hari mengundi awal kerana bertugas.

“… di bawah Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kita ada kategori undi pos, ada undi awal dan undi biasa,” katanya.

SPR menetapkan 15 Nov sebagai hari pengundian awal manakala hari pengundian adalah pada 19 Nov ini.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

699
Previous post Gangguan LRT: Wee tidak tolak kemungkinan sabotaj
Next post Hospital Cyberjaya mula operasi hari ini