Gigih bantu ibu bakar lemang pada hujung minggu

Masa Membaca:2 Minit, 15 Saat
NORITA gigih membakar lemang pada setiap hujung minggu dan menjelang perayaan. Foto Din Ahmad

LENDU 17 Ogos – Tiada istilah beristirahat pada hujung minggu untuk Norita Ismail, 35, kerana pada waktu itulah beliau sibuk membantu ibunya, Zainora Abdul Aziz, 61, membakar lemang.

Hujung minggu bagi kebanyakan orang adalah waktu untuk beristirahat selepas lima atau enam hari bekerja yang bukan setakat meletihkan fizikal, malah mental.

Bagaimanapun, istilah berkenaan tiada dalam hidup Norita dan ibunya yang memanfaatkan waktu itu untuk membakar lemang yang diwarisi daripada keluarga mereka sejak 30 tahun lalu.

Daripada mengisi pulut dan santan ke dalam buluh hinggalah menyusun buluh pada pendandang kayu api sebelum memastikan setiap buluh berkenaan didandang dengan sempurna bagi menghasilkan lemang berkualiti tinggi, mereka tidak pernah merungut keletihan.

Norita, ibu empat anak berusia antara tiga hingga 13 tahun dan ibunya sanggup ‘bertarung’ dengan bahang api antara tiga hingga empat jam pada setiap Sabtu dan Ahad semata-mata untuk memastikan bahan makanan tradisional itu mampu disiapkan sebaik mungkin tanpa ada yang mentah atau hangus.

Norita berkata, ketika di luar musim perayaan Aidilfitri atau Aidiadha, dia dan ibunya tetap membakar lemang pada setiap Sabtu dan Ahad kerana ia sudah menjadi kelaziman bagi mereka sejak 30 tahun lalu.

“Semasa saya masih kanak-kanak saya sudah membantu ibu membakar lemang yang ibu warisi daripada nenek dan sejak pemergian arwah bapa, Allahyarham Ismail Doyah empat tahun lalu, sayalah yang kerap membantu ibu.

“Walaupun terpaksa berdandang dekat api, kami tetap menguatkan semangat untuk membakar lemang dan apabila kami sudah terlalu lama bermain dengan api, ia sudah menjadi kebiasaan dalam kehidupan harian kami,” katanya ketika ditemui di Kampung Durian Daun Hilir, di sini semalam.

Bagi memastikan lemang yang dihasilkan memuaskan hati pelanggan, Norita memastikan hanya buluh yang tidak terlalu muda dan tidak juga terlalu tua yang dijadikan bahan untuk diisi dengan pulut dan santan.

Jika tiga tahun lalu Norita dan ibunya ada menawarkan lemang berharga RM10 sebatang, kini mereka hanya menawarkan bahan makanan itu pada harga antara RM12 hingga RM15 sebatang berikutan kenaikan harga pulut, santan dan buluh.

Pada setiap hujung minggu, kedua-dua beranak itu menghasilkan antara 30 hingga 40 lemang tetapi pada beberapa hari menjelang Aidilfitri dan Aidiladha mereka menghasilkan kira-kira 2,000 lemang untuk diagihkan kepada pelanggan sekitar Masjid Tanah dan Alor Gajah yang hadir sendiri di kediaman mereka untuk mendapatkannya.

“Saya tidak menyediakan perkhidmatan bayaran ketika penghantaran (COD) kerana tidak ada pembantu untuk menghantar lemang tetapi alhamdulillah, pelanggan sudi hadir di sini untuk mendapatkannya,” katanya.

Dia berkata, belum ada pelanggan yang sudah menikmati lemang berkenaan datang semula semata-mata untuk membuat aduan mengenai kekurangan sama ada pada rasa atau keadaan lemang itu sendiri, iaitu terlalu lembik atau sudah hangus.

Views:

564
Kongsi :
Previous post Allahyarham Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad selamat disemadikan
Next post BERSATU tumpu tarik pengundi muda
Ubah saiz-+=