Allahyarham Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad selamat disemadikan

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

AYER LIMAU 16 Ogos – Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Datuk Seri Utama  (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam berangkat menghadiri pengebumian jenazah tokoh pendidikan negara, Allahyarham Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, 84, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pinang, Masjid Tanah, di sini jam 6.30 petang tadi.

Turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Seri Abd Rauf Yusoh.

Jenazah Allahyarham tiba di Masjid As Solihin, Kampung Ayer Limau pada jam 5.15 petang dan disembahyangkan anak kariah kampung berkenaan serta sanak saudara Allahyarham sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Anak saudara arwah, Yusof Ali, 63, berkata Allahyarham meninggal dunia pada jam 10.45 pagi di kediamannya di Taman Ampang Utama, Ampang, Selangor selepas menderita penyakit barah dalam kepala selama tiga bulan.

“Allahyarham dilahirkan di Kampung Pinang sebelum bersekolah di Sekolah Tinggi Melaka dan melanjutkan pengajian di sebuah universiti di Singapura.

“Allahyarham adalah adik kepada ibu saya, Allahyarhamah Alpiah Arshad yang meninggal dunia pada Ogos tahun lalu dan ketika hayat mereka masih ada, mereka sangat rapat dan Allahyarham sering pulang ke Kampung Pinang untuk menziarahi Alpiah, terutama pada Aidilfitri,” katanya ketika ditemui di masjid berkenaan hari ini.

Beliau berkata, Allahyarham amat mementingkan pendidikan dan pernah menjadi Ketua Pengarah Pelajaran pada 1980-an.

Allahyarham meninggalkan isteri Puan Sri Noor Hayati Mohamed dan dua anak perempuan serta seorang anak lelaki.

Terdahulu, jenazah Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu dikafankan dan disolatkan di Masjid Jamiul-Huda, Jalan Pinang, Kampung Melayu, Ampang.

Allahyarham dilantik sebagai Pro Canselor UiTM pada 15 Disember 2002.

Allahyarham melanjutkan pengajian di University of Singapore, University of Reading, New Zealand Administrative Staff College dan Harvard Business School, sebelum bergelar doktor falsafah (PhD) apabila tamat pengajian di University of East London.

Selain Ketua Pengarah Pendidikan, arwah pernah dilantik menyandang beberapa jawatan penting lain, termasuk sebagai Perunding Pendidikan kepada Bank Negara.

Allahyarham juga pernah berkhidmat sebagai diplomat di Maghribi, Manila dan Thailand.

Views:

809
Kongsi :
Previous post Monorel Melaka rosak lagi ?
Next post Gigih bantu ibu bakar lemang pada hujung minggu
Ubah saiz-+=