Monorel Melaka rosak lagi ?

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

KOTA LAKSAMANA 16 Ogos – Pengoperasian mercu pelancongan Monorel Melaka di Stesen Tun Ali yang dihentikan sejak beberapa bulan lalu menjadi tanda tanya orang ramai terutama pelancong yang ingin menikmati pemandangan negeri menggunakan pengangkutan itu.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI), ke lokasi pelancongan tersebut mendapati mercu pelancongan yang dibina hampir satu dekad itu sugul dan tidak menerima sambutan pelancong pada siang hari.

Keadaan yang dilihat pada pusat pelancongan tersebut mendapati dua monorel yang didakwa penduduk telah rosak dan dalam proses pembaikan semula.

Menurut seorang peniaga berhampiran Shazzuan Shah Mohd Salleh, berkata, perkara itu perlu diatasi segera memandangkan peniaga di kawasan ini sering di soal pelanggan berhubung perkara terbabit.

Jelasnya, ramai pelanggan berhasrat menaiki pengangkutan berkenaan akhirnya terpaksa membatalkan niat bagi menikmati pemandangan Sungai Melaka terutama waktu malam.

“Sudah lama monorel ini tidak beroperasi dan ini juga memberi satu imej negatif pelancong terhadap aset pelancongan negeri yang dibiarkan begitu sahaja.

“Sebagai peniaga saya harap kerajaan memandang serius berhubung perkara ini kerana akan menjejaskan ekonomi pelancongan Melaka terutama selepas pandemik Covid-19.

“Kawasan perniagaan di sini menerima sambutan hebat jadi jika pengoperasian monorel ini kembali sedia kala ini akan membantu kami menjana pendapatan tambahan sebagai usahawan muda di kawasan ini,” katanya kepada MHI.

Dilema Monorel Melaka Stesen Tun Ali diumpamakan menjadi ‘masalah tahunan’ negeri ini perlu diselesaikan segera bagi mengelak pelbagai persepsi terhadap pusat pelancongan yang dibina hampir RM16 juta itu.

Pengoperasian monorel sepanjang 1.6km itu pernah digantung perkhidmatan pada 2013 akibat masalah teknikal, namun diteruskan semula pada Disember 2017.

Views:

830
Kongsi :
Previous post Pro Canselor UiTM meninggal dunia
Next post Allahyarham Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad selamat disemadikan
Ubah saiz-+=