
MPHTJ KONGSI AMALAN HIJAU DI PERINGKAT ANTARABANGSA
AYER KEROH 12 Oktober – Usaha mengurus penggunaan tenaga secara cekap di Kompleks Melaka Mall membuka ruang kepada Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) berkongsi amalan kelestariannya pada International Greentech & Eco Products Exhibition & Conference (IGEM) 2026 berlangsung Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 7 hingga 9 Oktober lalu.
Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Sapiah Haron berkata, perkongsian amalan terbaik itu mengetengahkan pelaksanaan ‘Energy Management Gold Standard’ (EMGS) di kompleks berkenaan termasuk strategi pengurusan tenaga, amalan berkesan dan pengajaran sepanjang pelaksanaannya.
Menurutnya, perkongsian itu turut memberi pendedahan mengenai pendekatan kelestarian dan perkembangan teknologi hijau yang boleh menyokong usaha membangunkan persekitaran bandar lebih mampan.
“Penyertaan ini selari dengan komitmen MPHTJ untuk memperkukuh amalan pengurusan tenaga yang cekap serta menyokong aspirasi Hang Tuah Jaya Low Carbon City 2030.
“Perkongsian menerusi sesi bertajuk ‘MPHTJ’s Success Story in Implementing EMGS at the Melaka Mall Complex’ disampaikan Pengarah Perancang Bandar MPHTJ, TPr. Ts. Rozaidi Mahat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Sapiah berkata, penyertaan itu memberi peluang kepada kumpulan berkenaan menimba pengetahuan mengenai teknologi hijau, inovasi serta amalan terbaik dalam pengurusan tenaga dan pembangunan mampan.
“Pada program sama, seramai 36 Green Ambassador (GA) MPHTJ menyertai IGEM 2026 secara bergilir sepanjang tiga hari, bermula 7 hingga 9 Oktober lalu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


