
PPSPM SASAR 5,000 MURID SERTAI PAKEJ SEKOLAH MELAKA RIVER CRUISE
DUYONG 12 Oktober – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) menyasarkan sehingga 5,000 murid menyertai Pakej Sekolah Melaka River Cruise sehingga hujung tahun 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Shaharul Azuar Idris berkata, program dengan kerjasama Persatuan Guru Besar Negeri Melaka itu diperkenalkan sejak Ogos lalu bertujuan memperluas pengalaman pembelajaran luar bilik darjah khususnya berkaitan sejarah dan warisan Sungai Melaka.
“Setakat 4 Oktober lalu Melaka River Cruise telah merekodkan penyertaan seramai 2,655 orang murid menerusi program itu.
“Justeru itu, kita menyasarkan tambahan 1,500 penyertaan lagi sehingga November ini, namun sasaran penyertaan turut mengambil kira beberapa faktor termasuk keadaan jerebu serta tempoh persekolahan, memandangkan Disember 2026 merupakan musim cuti sekolah,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu, seramai 220 murid dan 20 guru daripada tiga sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Merdeka, SK Merlimau 1 dan SK Chin Chin menyertai program berkenaan dengan menelusuri Sungai Melaka dengan menaiki Melaka River Cruise pada Rabu.
Daripada jumlah itu, SK Taman Merdeka dan SK Merlimau 1 masing-masing menghantar 80 murid serta lapan guru, manakala SK Chin Chin melibatkan 40 murid dan empat guru.
Menurut Shaharul Azuar, selain memberi pengalaman rekreasi, pakej itu turut membuka ruang kepada murid mengenali sejarah, warisan dan keunikan Sungai Melaka secara lebih dekat melalui pendekatan pembelajaran di luar bilik darjah.
“Kerjasama dengan Persatuan Guru Besar Negeri Melaka ini diharap dapat menggalakkan lebih banyak sekolah menyertai program ini, sekali gus menjadikan Sungai Melaka sebagai destinasi pembelajaran berasaskan warisan negeri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

