
SUARA ANAK ASNAF JADI INPUT MAIM RANCANG KEPERLUAN MASA DEPAN
BUKIT KATIL 12 Oktober – Pandangan anak asnaf yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi menjadi antara input penting kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dalam merancang pendekatan pembangunan generasi kedua asnaf untuk jangka panjang.
Ketua Unit Pembangunan Asnaf, Bahagian Pembangunan Insan MAIM, Muhammad Azizol Mohd Sahimi berkata, ruang itu disediakan menerusi sesi Ideathon pada Program Himpunan Bitara MAIM Tahun 2026 yang disertai 84 pelajar berusia 18 hingga 25 tahun.
Beliau berkata, sesi berkenaan membolehkan peserta menyuarakan pandangan mengenai bentuk program dan sokongan yang boleh disediakan MAIM bagi membantu perkembangan mereka sepanjang pengajian.
“Melalui Ideathon ini, kita mendengar suara anak-anak asnaf dan hasil beberapa maklum balas yang diterima, kita akan dipanjangkan kepada pengurusan MAIM untuk perancangan jangka panjang,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas program berkenaan yang diadakan di Masjid Al-Ehsan, Bukit Baru, di sini, pada Sabtu.
Menurutnya, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan usaha pembangunan yang dirancang mengambil kira keperluan dan pandangan penerima bantuan itu sendiri.
Jelasnya, selain pandangan dan cadangan, Himpunan Bitara MAIM turut menampilkan perkongsian bersama pakar berkaitan pendidikan tinggi dan persediaan kerjaya, selain pengenalan kepada matlamat program berkenaan.
Program edisi kedua itu menghimpunkan pelajar daripada pelbagai institusi pengajian tinggi di dalam dan luar Melaka, meliputi peringkat persijilan hingga ijazah sarjana muda.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


