Guru bina generasi baharu berilmu – KM

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

BANDA HILIR 24 Mei – Tanggungjawab guru kini bukan setakat menyampaikan ilmu sebaliknya warga pendidik kini turut memainkan peranan dalam membina generasi baharu bagi mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, tema Sambutan Hari Guru pada tahun ini ialah ‘Guru Tunjang Sekolah Sejahtera, amat relevan dalam menggambarkan peranan warga pendidik yang semakin mencabar.

Sulaiman berkata, guru perlu memastikan murid yang lahir daripada sistem pendidikan negara mempunyai sahsiah yang terpuji dan daya saing yang tinggi melalui penjiwaan amalan baik yang diterapkan di sekolah secara semula jadi.

“Maka, pada hari ini kita telah melihat betapa guru-guru berusaha melengkapi diri mereka dengan pelbagai ilmu pengetahuan baharu, kompetensi, keupayaan, perubahan sikap dan kesiapsagaan dalam menerima norma baharu pendidikan.

“Semua ini demi mendepani cabaran semasa dalam dunia pendidikan yang telah berubah dengan pantas. Saya percaya, kita semua maklum akan impak yang dibawa oleh pandemik COVID-19 dalam kehidupan kita.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan COVID-19, terselit hikmah apabila guru-guru mula menambah baik kemahiran digital mereka dalam menyampaikan ilmu kepada murid apabila sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Melaka Tahun 2022 di sini, hari ini.

Katanya guru sanggup berkorban apa sahaja, malah, ketika PKP yang sanggup menghantar modul pendidikan ke rumah bagi memastikan murid-murid tidak ketinggalan dalam pelajaran disebabkan ketiadaan peranti dan akses internet.

“Saya amat berbangga dengan usaha yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dalam mengatasi kekangan dan isu pembelajaran di negeri ini, terutamanya semasa tempoh PKP yang lalu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

926
Kongsi :
Previous post Lebih RM92 juta dana MARA bantu usahawan di Sabah sejak 2020
Next post Guru diminta hayati, terap elemen ‘SEJAHTERA’ di sekolah – Sulaiman
Ubah saiz-+=