Guru diminta hayati, terap elemen ‘SEJAHTERA’ di sekolah – Sulaiman
BANDA HILIR 24 Mei – Elemen ‘SEJAHTERA’ perlu diamalkan di dalam dan luar kelas kearah pembudayaan nilai murni, kemahiran dan sikap positif dalam diri murid.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, perkara itu penting agar penghayatan nilai-nilai murni dalam kalangan murid tidak terhakis.
“Akronim menggabungkan 14 elemen nilai-nilai iaitu huruf ‘S’ membawa maksud selamat, seronok dan sihat, huruf ‘E’ pula bermaksud etika dan empati, huruf ‘J’ bermaksud jati diri, ‘A’ bermaksud adab sopan, huruf ‘H’ bermaksud harmoni, ‘T’ bermaksud tekun, teliti, dan terampil, huruf ‘E’ bermaksud eksplorasi, huruf ‘R’ bermaksud rasional dan huruf ‘A’ bermaksud artikulasi.
“Elemen-elemen ini perlu difahami oleh semua warga pendidik agar nilai-nilai ini benar-benar dapat diwujudkan dalam persekitaran pembelajaran dan sekolah menjadi sebuah institusi sosial yang selamat, mampu membentuk emosi yang positif dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan diri murid-murid,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Melaka Tahun 2022 di sini, hari ini.
Menurutnya, pengiktirafan guru sebagai golongan berilmu juga perlu membawa nilai-nilai etika dan integriti dalam mempertahankan kehormatan sebagai warga pendidik.
“Diharapkan negeri Melaka tercinta ini terus maju dan jaya dengan lahirnya generasi modal insan yang berkualiti daripada aspek ilmu pengetahuan, kemahiran serta mempunyai nilai sahsiah yang terpuji,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.